Khalil sahkan kenyataan Nik Abduh sokong Najib, kata Pemuda Amanah

Faiz Fadzil

Tindakan Timbalan Ketua Pemuda Pas Mohd Khalil Abdul Hadi menyokong ketuanya Nik Abduh Nik Aziz bahawa skandal rasuah dan pembaziran adalah kesakitan lama yang berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah petanda jelas parti Islam itu menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil berkata kenyataan Khalil itu menunjukkan kekeliruan beliau mengenai musuh politik sebenar yang harus ditentang.

"Dakwaan beliau bahawa Pas bukan menentang individu (Najib Razak) tetapi sistem adalah bercanggah dengan logik akal dan syarak.

"Untuk mengubah sistem, kepala sistem itu perlu ditentang dan dijatuhkan, tanpanya sistem pemerintahan negara yang korup dan zalim ini akan terus kekal.

"Begitulah perjuangan Rasulullah SAW dahulu yang menentang pemimpin Arab yang zalim seperti Abu Jahal dan Abu Lahab dalam dakwah bagi mengubah sistem akidah dan urusan hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz menegaskan, mengekalkan Najib bermaksud mengekalkan GST, melindungi skandal korupsi global 1MDB, mengekalkan rasuah yang kian membarah, menyokong subsidi pendidikan dan kesihatan terus dipotong dan mengekalkan kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagaimana hendak mengubah sistem jika kepala dan pengatur sistem ini tidak ditukar?" soalnya.

Beliau juga mempersoal tindakan Pas yang mahu bertanding 40 kerusi parlimen tanpa bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan Bersatu tetapi berhasrat mengubah sistem pemerintahan negara.

"Sistem yang korup dan zalim ini hanya boleh diubah jika kerajaan baru dibentuk.

"Jika Pas menang kesemua kerusi tersebut sekalipun, Pas tidak mampu untuk membentuk kerajaan dan sebab itu, agenda Pas sekarang jelas menyokong Najib Razak untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan kenyataan Nik Abduh tersebut," tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata rakyat kini keliru dengan kompas agenda politik matang dan sejahtera yang dibawa Pas apabila fungsi sebagai penasihat kerajaan tidak mempunyai apa-apa kesan terhadap kes-kes rasuah dan skandal 1MDB dan hak royalti minyak rakyat Kelantan juga tidak diperjuangkan.

"Apa yang sejahteranya jika yang diserang Pas sekarang adalah Amanah dan DAP dan bukan lagi Umno dan Barisan Nasional.

"Menentang Najib Razak adalah salah satu agenda rakyat hari ini dalam usaha menjatuhkan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

"Rakyat kini semakin terdesak untuk melakukan perubahan bagi membebaskan kehidupan yang semakin tertekan akibat korupsi dan kenaikan kos sara hidup. Pakatan Harapan bersedia menggalas agenda ini," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel