Projek Hotel St Regis, LICC: Rakyat terdedah risiko kerugian RM379 juta

Rafizi Ramli 3

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa projek mewah ala Ali Baba membabitkan dua syarikat kroni Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menjerumuskan rakyat kepada tanggungan hutang sejumlah RM379juta.

 

Rafizi Ramli Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa, projek mewah ala Ali Baba membabitkan dua syarikat kroni Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menjerumuskan rakyat kepada tanggungan hutang sejumlah RM379juta.

Rafizi merujuk kepada projek Hotel St Regis dan Langkawi International Convention Centre (LICC).

Rafizi menjelaskan kerajaan Malaysia telah menyuntik dana sejumlah RM379,803,965 iaitu 60 peratus pegangan bagi kedua-dua syarikat yang mengendalikan projek tersebut iaitu Integrated Nauticcal Sdn Bhd dan Garuda Suci Sdn.Bhd.

"Kerajaan Malaysia telah menyuntik sebanyak RM379,238,996 bagi 60% pegangan di dalam kedua-dua projek, berbanding suntikan sebanyak RM41,803,965 oleh Tan Sri Peter Sondakh bagi 40% pegangan.

"Ini bersamaan dengan nisbah suntikan sebanyak 90% oleh Kerajaan Malaysia dan 10% oleh Tan Sri Peter Sondakh, seperti yang saya dakwa di dalam Parlimen semalam.

"Akibat dari susunan pegangan korporat begini, Kerajaan Malaysia terdedah kepada tanggungan hutang sebanyak RM379 juta (belum dicampur faedah dari hutang-hutang bank) sekiranya kedua-dua projek ini tidak menguntungkan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Naib Presiden PKR itu juga menjelaskan kedua-dua projek tersebut tidak pernah menunjukkan keuntungan sejak ditubuhkan 3 tahun lalu dan ada kemungkinan ia akan berterusan mengalami kerugian.

"Walaupun Hotel St Regis boleh memberi alasan ia masih belum beroperasi sepenuhnya, timbul persoalan sama ada ia mampu menjana pendapatan untuk membayar faedah pinjaman Bank Pembangunan sebanyak RM9.88 juta setahun dan juga pinjaman pokok.

"Prestasi LICC lebih teruk kerana ia telah pun dibuka dan digunakan untuk Sidang Kemuncak ASEAN 2015. Dengan prestasi kewangan sedemikian, ada kemungkinan besar ia tidak mungkin dapat membayar faedah tahunan pinjamannya sebanyak sekitar RM100 juta yang saya anggarkan sekitar RM5 juta setahun (dibandingkan dengan perolehan yang tidak sampai RM5 juta setahun).

"Adalah jelas kedua-dua projek mewah ala Ali Baba dengan sahabat Dato’ Seri Najib ini akan menjerumuskan rakyat kepada satu lagi “bail out” di satu hari nanti yang menyebabkan rakyat menanggung hutang sebanyak RM379 juta," terangnya.

Pada 6 Mac lalu Rafizi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan isu pembinaan hotel St. Regis Langkawi dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang dikatakan menelan belanja sehingga RM400 juta.

Kedua-dua projek itu dikendalikan oleh syarikat dikawal oleh Tan Sri Peter Sondakh yang merupakan sahabat baik kepada Najib, dakwa Rafizi.

November 2013, Najib menunjukkan komitmen untuk membangunkan Pulau Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan utama dunia ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata, bagi mencapai hasrat itu, Langkawi memerlukan pelaburan dan jenama besar bagi menarik lebih ramai pelancong kelas tinggi.
Najib berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis pecah tanah Hotel St. Regis Langkawi dan LICC.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel