Wanita Amanah ucap tahniah pelantikan Mohaiyani sebagai Pengerusi Maybank

Dr Siti Mariah

Wanita Amanah Negara (AWAN) merakam ucapan tahniah kepada Datuk Mohaiyani Shamsudin yang dilantik sebagai pengerusi wanita pertama mengetuai lembaga pengarah utama Maybank, syarikat senaraian awam terbesar di Malaysia.

Ketua AWAN Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau yakin pelantikan itu bukan sahaja akan menambah senarai ikon wanita dalam bidang yang penting dan kritikal malah akan meningkatkan motivasi golongan wanita dalam negara ini.

"Saya percaya langkah ini bukan sahaja akan menambah lagi senarai ikon wanita dalam bidang yang penting dan kritikal selepas kita mempunyai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang merupakan Gabenor Bank Negara sebelum ini, malah akan meningkatkan motivasi golongan wanita dalam negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga berkata, Maybank sebagai bank terbesar dalam negara membuat banyak langkah yang menunjukkan keputusan yang luar biasa terhadap keupayaan golongan wanita.

Mohaiyani Shamsudin Pada awal Mac ini, Maybank mengumumkan cuti bersalin sehingga setahun kepada kakitangannya serta beberapa insentif yang amat baik untuk golongan wanita.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Maybank atas langkah progresif ini. Syabas juga diucapkan kepada Mohaiyani dan saya percaya beliau mampu memikul tanggungjawab besar ini," katanya. 

Pelantikan Mohaiyani yang bermula pada 1 April depan susulan pengerusinya, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor yang akan melepaskan jawatan itu pada 31 Mac 2017 selepas 12 tahun menduduki kerusi lembaga berkenaan, termasuk tujuh setengah tahun sebagai pengerusi.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel