• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Chegubard tidak yakin parti baharu akan ditubuhkan Ezam bertahan lama

Badrul Hisham ShaharinBadrul Hisham Shaharin

Badrul Hisham Shaharin mengandaikan cita-cita bekas Senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk menubuhkan parti baharu tidak akan bertahan lama.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang juga dikenali sebagai Chegubard berkata, susuk tubuh dua watak itu hanya berkepentingan jawatan.

"Kini dua watak ini akan buka parti? Ia harus diraikan dalam negara demokrasi cuma menjangkakan parti yang mereka tubuh tidak tahan lama, bukan sahaja akan berkubur selepas PRU namun silap gaya peringkat tajaan sendiri akan mati, tidak sempat tubuh dapat kelulusan pun sebab berebut jawatan.

"Mengenali dua sosok tersebut glamor jawatan amat penting bagi mereka dan beberapa orang yang turut mengikuti mereka sudah tentu yang beridentiti hampir sama iaitu meraih kesempatan dan menggunakan lapang politik sebagai medan peluang tawar menawar serta glamor jawatan," ujarnya dalam satu kenyataan di blognya hari ini.

Terkini tersebar laporan yang memetik Ezam berhasrat untuk menubuhkan parti baharu ,bersama-sama dengan beberapa individu yang dinamakan seperti Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Ezam dilaporkan akan menubuh parti politik baharu yang berkonsepkan 'single objektif' untuk lawan rasuah yang dijangka untuk menarik minat golongan muda.

Chegubard berkata,usaha penubuhan parti baharu itu harus diraikan dalam negara demokrasi.Bagaimanapun ia harus disegerakan kerana beliau menjangkakan penubuhan parti politik baharu ini dibimbangi akan dihalang rejim Najib Razak.

"Harap mereka sempat daftar dan tubuh parti sebelum PRU ke-14.

"Cuma agak lucu kalau nak dikatakan ramai anak muda menyokong parti yang bakal Ezam dan Khairuddin tubuhkan kerana dua watak ini sendiri tidak menarik dari pandangan anak muda," ujarnya.

Chegubard turut menerangkan sebab beliau berpandangan Ezam dan Khairuddin tidak akan mendapat sokongan anak muda dan hanya bercita-cita untuk mendapatkan jawatan.

"Ezam dari sebagai salah seorang Setiausaha Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menggunakan pengaruh Anwar pegang jawatan di peringkat Bahagian Umno. Kemudian keluar Umno kerana Mahathir menfitnah Anwar. Kemudian kerana perebutan dalam PKR dengan Azmin Ali keluar parti dan selepas beberapa ketika masuk Umno.

"Ezam umumkan masuk Umno kerana antara alasannya kerana Mahathir sudah keluar Umno ketika itu namun ramai sudah menghidu dia masuk Umno kerana tawaran jawatan.

"Ketika dalam Umno dia menyerang Anwar dengan mengiyakan banyak fitnah yang sebelum itu dia lawan. Selepas itu dilantik menjadi ahli dewan negara (Senator).

"Ketika menjadi Senator dia tidak menghabiskan penggal perkhidmatannya letak jawatan kerana dikatakan merajuk sebab tidak mendapat apa yang dikehendakinya. Selepas itu dia menerima pujukan dengan jawatan lebih mewah sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan.

"Kemudian sekali lagi meletak jawatan dari jawatan tersebut juga akibat merajuk dan konon menumpukan NGOnya di Indonesia.

"Mungkin tidak dilayan kali ini maka dia turut umum keluar Umno. Setelah senyap beberapa ketika dia mula bincang dengan beberapa orang PKR untuk memasuki semula parti itu, malah pertemuan dengan Azmin juga berlaku namun tiba - tiba dia membuat pengumuman masuk parti bunga raya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)  yang diketuai Mahathir.

"Sedang berunding dengan PKR nak masuk PKR umum masuk bunga raya, mungkin tawaran bunga raya lebih ketika itu. Ini juga sangat lucu kerana dia keluar Umno kerana Mahathir, masuk balik Umno kerana Mahathir sudah tiada dalam Umno tetapi pada ketika itu masuk pula parti bunga raya bawah Mahathir.

"Seperti sudah dijangka hanya tak sampai dua bulan, Ezam sekali lagi umum keluar bunga raya konon tidak minat parti politik dan hanya akan tumpu gerakan NGO.

"Menurut sumber yang rapat menyatakan dia keluar kerana janji 'geng bunga raya' padanya tidak tertunai.

"Khairuddin pula satu watak yang yang menjadi antara 'dalang' fitnah ke atas Anwar Ibrahim tahun 1998. Kemudian dalam Umno ketika pegang jawatan peringkat Bahagian diisytihar muflis ketika gagal mendapat bantuan kewangan dia merajuk ikut Mahathir.

"Bersama tubuh parti bunga raya  dengan Mahathir, gagal dapat jawatan dikehendaki, umum keluar dengan bagi tahu tidak minat parti politik dan akan bantu Bunga Raya dari luar.

"Tiba-tiba pula umum nak tubuh parti dan nak bertanding," dakwa Chegubard.

Khairuddin dalam satu kenyataan semalam dipetik berkata, menyambut baik hasrat Ezam untuk menubuhkan sebuah parti baharu dan beliau menyatakan kesediaan untuk menyertai parti baharu itu jika ditubuhkan kelak.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: