Seleweng tanah bumiputera memang asam garam Umno

Hassan KarimHassan KarimPenyelewengan terhadap hartanah bumiputera sudah menjadi asam garam pemimpin Umno sekaligus bertentangan dengan reputasi palsu parti itu sebagai 'pembela' orang Melayu, tegas Pengerusi PKR Negeri Johor Hassan Karim.

Menurut beliau, perbuatan menggadai status hartanah bumiputera demi keuntungan peribadi hanya mengabsahkan Umno sebagai parti 'penggadai' tanah rizab Melayu.

"Inikah punca jumlah keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang, hanya  11.99 peratus berbanding jumlah yang diperuntukkan iaitu 50 peratus.

"Dengan lambakan rekod rasuah dan penyelewengan semakin teruk, adakah slogan 'Hidup Melayu' bermaksud melindungi elitis Umno yang melakukan penyelewengan?" soal beliau.

Sehubungan itu, PKR Johor tegasnya mempertikai kepimpinan kerajaan BN negeri yang diterajui Datuk Seri Khaled Nordin dalam melindungi hak pemilikan hartanah bumiputera.

Menurut Hassan, kes kecurian dokumen dari 'bilik kebal' Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor tidak seharusnya berlaku kerana ia menjejaskan hak tanah rakyat dan menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru itu, PKR Johor menuntut Menteri Besar meningkatkan keyakinan rakyat yang semakin lenyap akibat skandal rasuah dan tidak hanya menyerahkan penyelewengan yang berlaku kepada polis semata-mata.

"Ini kerana banyak persoalan timbul lantaran bilik kebal yang penuh dokumen penting tidak dijaga dengan baik. Tentunya, rakyat berhak berasa curiga dan mengesyaki ada sesuatu yang tak kena.

"Apatah lagi ia terjadi ketika siasatan sedang berjalan terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi. Rakyat juga pasti tertanya-tanya dengan  penemuan 150 beg tangan jenama mewah yang dirampas SPRM pada serbuan di rumah exco tersebut," katanya.

Rentetan kejadian ini, tambah beliau mendedahkan tembelang Umno dalam urusan hartanah bumiputera yang terbongkar satu demi satu termasuk membabitkan anak pemimpin negeri.

Skandal penyelewengan hartanah bumiputera Johor mula terbongkar selepas SPRM menahan enam lelaki termasuk anak anggota exco kerajaan negeri pada 25 Februari lalu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: