Amanah Negeri Sembilan mahu gabungan telus, jujur

Kesepakatan yang lebih bersifat holistik inilah yang didambakan oleh rakyat.Kesepakatan yang lebih bersifat holistik inilah yang didambakan oleh rakyat.

Amanah Negeri Sembilan mengingatkan perlunya gabungan parti pembangkang yang telus dan jujur menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasinya, Azrin Amran berkata, matlamat tersebut penting dan tidak akan tercapai secara bersendirian.

"Kesepakatan yang lebih bersifat holistik inilah yang didambakan oleh rakyat, bukan retorik seperti pemerintah yang sedia ada," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas pembahagian kerusi bagi PRU14, beliau berkata, beberapa sesi rundingan sebelum ini berkenaan berjalan lancar.

"Semangat permuafakatan Pakatan Harapan secara dasarnya bersetuju Amanah bertanding di semua kerusi Pas termasuk Dun (Dewan Undangan Negeri) Labu," ujarnya.

Beliau memberitahu, kawasan tersebut bakal ditandingi oleh Pengerusi Amanah  Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

"Cuma tidak dinafikan ada pertindihan. Ini termasuk di Dun Ampangan.

"Bagaimanapun, dengan kehadiran PPBM dalam Pakatan Harapan, perbincangan ini akan berlaku semula untuk memberi laluan kepada parti komponen baru ini," ujarnya.

Jelas Azrin, parti komponen sedia ada perlu memberikan sejumlah kerusi yang mereka tandingi kepada PPBM pada PRU14 kali ini.

"Amanah ingin menegaskan dan menasihatkan bahawa sebarang perbincangan perlu melalui meja rundingan Pakatan Harapan," ujarnya lagi.

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menyaksikan blok pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat hanya menang di tiga kerusi Parlimen iaitu Rasah, Seremban dan Telok Kemang.

Kesemua kerusi terbabit mempunyai lebih 50 peratus pengundi bukan Melayu.

Bahkan, prestasi DAP di Negeri Sembilan ketika itu adalah paling memberangsangkan apabila menang di kesemua dua kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dun yang ditandingi.

Sebaliknya, Pakatan Rakyat tewas di semua lima kerusi Parlimen majoriti Melayu iaitu Rembau, Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan Jelebu.

Sementara itu, lima kerusi Dun yang dimenangi calon BN adalah dengan majoriti tipis iaitu Dun Ampangan, Labu, Johol, Klawang dan Pilah.

Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan mendadak undi yang diperoleh calon BN di beberapa Dun sehingga melebihi 50 peratus seperti di Dun Paroi, Palong dan Bagan Pinang.

Gabungan parti pembangkang di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum yang berlangsung pada 2013 itu juga meraih 47.41 peratus undi popular sekaligus menafikan majoriti dua pertiga BN di kerusi Dun untuk dua penggal berturut-turut.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: