• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Pas anggap Kit Siang sakit jiwa dan fikiran?

Lim Kit SiangLim Kit SiangPengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Amzad Hashim tampil mengecam Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan menganggap parti berlogokan roket itu semakin tertekan serta tidak tentu arah.

"Terbaru digesanya akar umbi Pas supaya menolak Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Ternyata Kit Siang mengalami sakit jiwa dan fikiran," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kit Siang paling tersepit menghadapi banyak persimpangan di hadapan langkah diatur yang akan menjerumus dan memperosoknya.

"Sama ada tersembam menyembah realiti atau kehilangan pegangan sedang dimiliki," ujarnya.

Menurutnya, semua angkara kelakuan politik DAP yang gopoh, ego dan rakus seperti senjata makan tuan apabila akibatnya menimpa kembali parti itu.

"Durjana paling besar DAP kerana menyinggung hal ehwal berkaitan Islam dengan semarak keangkuhan dan memperalatkan segelintir pemimpin Islam yang diperkudakan tawaran keduniaan.

"Juga sikap memaksa pihak lain tunduk kepada kehendak mereka," dakwanya.

Amzad juga menganggap kononnya DAP 'mengidam' jawatan Timbalan Perdana Menteri selain isu kleptokrasi yang berkaitan skandal mega 1MDB gagal mendapat sambutan rakyat.

"Cemasnya ketara saat umum dilihat menolak hasrat DAP yang mengidam kedudukan nombor dua negara.

"Kit Siang resah momokan kreptokrasinya tidak dimamah rakyat Malaysia," bidasnya.

Lebih sengsara, jelasnya, melihat kejayaan besar penganjuran Himpunan Menyokong RUU Pindaan Akta 355 (H355) di Padang Merbok yang sebenarnya merakam kedudukan penerimaan masyarakat terhadap Pas.

Turut mengaitkan Amanah yang hanya disebut Pan, Amzad menganggap Amanah  yang 'dikhadamkan' DAP semakin 'kartun serta gempita sahaja lebih.'

"Merasa Pas boleh 'dibeli' ketika itu melalui boneka-boneka tajaannya, ternyata meleset dan mereka itu ditunjuk jalan keluar.

"Walaupun menubuhkan PAN, sekali gus meminggir dan usaha mematikan Pas, tetapi perkembangan menunjukkan sebaliknya," kata beliau.

Bahkan, Amzad mendakwa Pas semakin diterima dengan keahlian semakin bertambah manakala DAP pula kehilangan pimpinan dan ahli.

"Tiba-tiba Tun Mahathir yang mahu ditunggangnya pula menjadi semakin mencengkam.

"Maka terkulailah segala cita-cita DAP yang sedang menyesak dan meningkatkan lagi porak peranda di dalam parti itu serta gabungan mereka," ujarnya.

Tambah Amzad lagi, hakikatnya DAP sekadar cuba memujuk diri setelah gagal memaksa Pas untuk bersama dan akur dengan nafsu mereka.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel