Pahang tidak berhasrat agih zakat pada bukan Islam

Kerajaan Negeri Pahang tidak berhasrat untuk mengagihkan kutipan zakat kepada mereka yang bukan Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan ketetapan akidah dan ajaran Islam yang menyatakan mereka yang bukan Islam tidak wajib untuk membayar zakat.

Syed Ibrahim berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Tengku Zulpuri Shah Raja Puri (DAP-Mentakab) yang ingin tahu jika kerajaan Pahang berhasrat untuk melaksanakan agihan kepada bukan Islam.

Tengku Zulpuri Shah berkata demikian dengan merujuk kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dilaporkan baru-baru ini sebagai berkata pemberian zakat kepada bukan Muslim dengan tujuan dakwah dibolehkan dan sebagai relevan pada masa kini.

Sementara itu, Syed Ibrahim juga memaklumkan kutipan zakat pada tahun lalu ialah RM132.2 juta berbanding 2015 (RM161.3 juta), 2014 (RM118.4 juta) dan 2013 (RM119.6 juta).

Beliau berkata hasil kutipan itu adalah usaha berterusan yang dijalankan Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang menjalankan kempen kesedaran berzakat di negeri ini menerusi anak syarikatnya, Pusat Kutipan Zakat Pahang.

"Pelbagai cara dilakukan bukan hanya menerusi ceramah tetapi juga membuka peluang memudahkan urusan pembayaran zakat supaya mereka rasa mudah untuk menunaikan tanggungjawab ini," katanya.

Syed Ibrahim menambah bagi agihan zakat pula, sebanyak RM135.2 juta diagihkan pada 2016, 2015 (RM113.4 juta), 2014 (RM99.6 juta) dan 2013 (RM91.1 juta)

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: