Dana 1MDB: Pas nafi sebarang kaitan dengan Nasharuddin

Takiyuddin HassanTakiyuddin Hassan

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan lewat petang ini, Pas Pusat menafikan sebarang hubungan dengan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dan menegaskan tidak menerima sebarang dana daripada mantan ahli parlimen Bachok itu selepas tempoh perkhidmatan beliau sebagai ahli parlimen tamat pada Mei 2013.

Menurut kenyataan empat perenggan oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Nasharuddin tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam parti itu sejak tewas dalam pertandingan timbalan presiden pada 2011 dan setelah digugurkan sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak.

Takiyuddin menjawab pendedahan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung dana anak syarikat 1MDB, SRC International yang disalurkan kepada beberapa pihak termasuk Nasharuddin.

Menurut sumber, Nasharuddin dipercayai menjadi 'orang tengah' untuk menyalurkan dana tersebut kepada Pas, dakwaan yang dinafikan para pemimpin utama Pas.

"Pas Pusat mengesahkan tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada dan/atau melalui beliau dalam apa bentuk sekalipun daripada tarikh tersebut kecuali sumbangan tetap bulanan sebagai Ahli Parlimen Pas (berakhir Mei 2013 sebagai Ahli Parlimen Bachok).

"Pas Pusat menyerahkan perkara Akuan Bersumpah YB Saudara Rafizi Ramli dalam hal ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang. Namun Pas berpandangan ianya kekal berstatus 'dengar cakap' (hearsay) selagi individu yang dikatakan memberitahu 'maklumat' ini kepada beliau, mengesahkannya," kenyataan Takiyuddin dipetik.

Di masa yang sama, Pas menggesa Rafizi segera membuat Akuan Bersumpah tentang dakwaan 'bersifat rasuah' yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin dan Chegubard baru-baru ini terhadap beliau dan beberapa pemimpin PKR.

Raja Petra Kamaruddin ialah blogger berstatus muflis yang kini menetap di Britain manakala Chegubard ialah bekas pemimpin PKR yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Beberapa pemimpin utama Pas mempunyai hubungan rapat dengan Raja Petra dan pernah beberapa kali menemui 'blogger pelarian' (fugitive blogger) itu di London dan Bangkok.

Chegubard pula ialah bekas calon PKR yang menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan calon Pas, Yusni Mat Piah dan calon BN Mahmud Zakaria di Dun Sungai Acheh pada pilihan raya umum 2013.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel