Najib wajar senaraikan bidang tugas Hishammuddin,kata MP DAP

Lim Lip EngLim Lip EngPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar menyenaraikan bidang tugas baru sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Segambut, Lip Lim Eng berkata, ini kerana protfolio baru yang disandang Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan itu tidak mempunyai bidang tugas yang jelas, oleh itu memerlukan penjelasan lanjut daripada Najib Razak.

“Pastinya tugas-tugas khas yang dipikul Menteri Pertahanan ini bukan untuk mempertahankan kedudukan Najib Razak, daripada digulingkan ‘inner circle’nya sendiri.

“Termasuklah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang semalam pastinya terpaksa menelan hakikat bahawa kedudukannya dalam Umno dan kerajaan kian tergugat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Lip Eng, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Hishammuddin akan menjadi pengganti melalui rampasan kuasa terhadap Zahid yang kini menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Adakah Najib sedang menjadikan sepupunya sebagai sebahagian daripada ‘exit strategy’ sebelum atau ketika pilihan raya umum berlangsung?

“Malah membiarkan Hishammuddin melangkah bendul dan menyambut jawatan perdana menteri dan seterusnya bertikam merebut kuasa?” soalnya yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, menurut Lip Eng, Najib Razak mungkin tidak begitu ‘kejam’ sehingga sanggup ‘memangsakan sepupu sendiri’ untuk melepaskan dirinya setelah mengaut hasil kekayaan negara.

“Maka apa sebenarnya bidang tugas baru Hishammuddin? Tugas apakah yang begitu berat sehingga sembilan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak dapat memikulnya?” soalnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel