Tuan Ibrahim tidak tahu Nasharuddin terima atau tidak dana 1MDB

Tuan Ibrahim  Tuan Man

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak tahu sama ada benar atau tidak Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa pernah menerima dana daripada 1MDB.

Timbalan Presiden Pas itu, turut mempersoalkan kewajaran bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa memberi maklumat tersebut kepada Naib Presiden PKR Rafizi.

“Bagi kita, Nasharudin sudah tiada kena-mengena dengan Pas. Beliau hanya ahli biasa dan bukan pimpinan Pas, jadi kalau nak kaitkan dengan Pas, ini satu tuduhan palsu.

“Sebab realitinya, Nasharudin sudah tidak bersama dalam program Pas sejak 2015 lagi. Sama ada benar atau tidak beliau terima dana 1MDB, itu urusan peribadi beliau

“Bekas pegawai itu tentu peroleh maklumat sewaktu ada jawatan dalam SPRM, jadi sepatutnya ketika itu beliau ambil tindakan.

"Tidak perlu dedah maklumat kepada pihak lain yang tidak berkepentingan. Bagi saya, tindakannya telah melanggar prosedur penyiasatan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Semalam Rafizi menerusi sidang media di Ibu Pejabat Invoke, berkata, pendedahan itu dibuat setelah seminggu beliau mendakwa ada wang dari akaun peribadi Najib mengalir kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga tidak pernah menerima sebarang dana daripada Nasharudin.

“Pejabat Pas tak pernah terima sumbangan daripada beliau, sama ada secara peribadi atau kepada parti. Beliau juga tidak pernah pergi ke pejabat Pas.

“Malah, saya sendiri secara peribadi tak pernah jumpa Nasharudin sejak beliau tidak lagi memegang jawatan dalam Pas,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata tiada keperluan untuk mengambil tindakan saman terhadap Rafizi.

“Kita tidak ambil tindakan, sebab anggap ini hanya kenyataan kosong,” katanya seperti dipetik.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel