Laporan PAC tidak pernah bincang wang diterima Nasharuddin melalui 1MDB

Datuk Hasan Arifin Datuk Hasan Arifin

Nama bekas timbalan presiden Pas Datuk Dr Nasharudin Mat Isa tidak pernah dibangkitkan dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kata Pengerusinya Datuk Hasan Arifin.

Beliau berkata pendedahan yang dibuat Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam, mendakwa Nasharudin menerima wang berkait 1MDB, tidak pernah dibincangkan dalam PAC.

“Isu ini tidak dibincangkan dalam PAC sebelum ini dan kaitan dengan pemimpin PAS juga tidak pernah dibangkitkan,” katanya seperti dilapor FMT hari ini.

Pada 2015, PAC yang dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang memulakan prosiding siasatan ke atas 1MDB, ekoran pendedahan syarikat milik Kementerian Kewangan itu dibeban hutang mencecah puluhan bilion ringgit.

PAC bagaimanapun mengumumkan tugasnya selesai, walaupun dipertikaikan beberapa anggotanya termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Nasharudin pernah menerima dana berkait 1MDB.

Dalam akuan berkanun yang ditandatanganinya, Rafizi berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai “paling kanan” dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan ke atas wang RM2.6 bilion, yang didakwa mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib sebelum ini berkata wang itu sumbangan Arab Saudi untuk membantu kempen pilihan raya BN pada 2013.

Rafizi berkata sebahagian daripada wang itu dipindahkan “kepada peguam tertentu” sebelum ia sampai ke akaun milik Nasharudin.

Hasan berkata pendedahan yang dibuat Rafizi tidak akan dibincangkan kembali dalam PAC memandangkan pihaknya sudah mengeluarkan laporan lengkap berhubung siasatan 1MDB.

“Kita sudah selesaikan isu tersebut dan pendedahan Rafizi mengaitkan bekas pemimpin PAS juga kita tidak akan bincang lagi.

“Kes ini sudah tutup dan laporan siasatan telah dibuat,” katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel