Kerajaan Pusat perlu serius tangani lambakan Pekerja Asing di Johor

Salahuddin Ayub Kerajaan pusat perlu memikirkan secara serius usaha untuk mengurangkan lambakan Pekerja Asing Tanpa Izin (Pati) di negara ini khususnya di Negeri Johor.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, isu lambakan pekerja asing di Johor semakin hari semakin kritikal.

"Banyak serbuan telah dijalankan oleh Jabatan Imigresen Johor mendedahkan akan jumlah yang tinggi pekerja asing tanpa izin dan pada masa yang sama penempatan haram warga asing yang dipercayai akan mendatangkan masalah sosial terhadap rakyat Johor.

"Antara kes berkenaan serbuan Jabatan Imigresen Johor di sebuah penempatan haram yang didiami lebih 400 pekerja asing di Johor.

"Hasil serbuan tersebut mendedahkan bahawa separuh daripada mereka tidak sepatutnya berada di sana dan mereka adalah Pati atau memiliki permit kerja yang sudah tamat tempoh," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu membabitkan Pati berkaitan dengan dasar keselamatan terhadap rakyat di negeri Johor.

"isu ini bukan kerana dasar 'Xenophobic' tetapi atas dasar keselamatan rakyat di negeri Johor. Kebanyakan PATI tidak melalui saringan kesihatan oleh Kerajaan dan ini akan mengakibatkan penyakit berjangkit mudah merebak kepada rakyat tempatan.

"Kerajaan Pusat perlu memikirkan secara serius langkah atau usaha untuk mengurangkan lambakan Pati yang dianggarkan kini berjumlah 1.3 juta orang.

"Manakala statistik bagi Pati pula mengikut KDN adalah sejumlah 1.9 juta orang.

"Bermaksud jika dicampurkan kedua-duanya kini sudah mencecah 3.2 juta orang, yang meliputi 23% daripada tenaga kerja yang ada di Malaysia. Ternyata angka 23% ini telah pun melebihi had siling yang ditetapkan kerajaan iaitu 15%," terangnya.

Tambah beliau lagi, realiti hari ini menunjukkan trend peningkatan warga asing sangat membimbangkan.

"Mereka sudah mula menjalankan perniagaan tanpa lesen yang akan menjejaskan kegiatan ekonomi warga tempatan serta menggugat keselamatan rakyat melalui pelbagai aktiviti jenayah serta penyakit berjangkit yang tidak terkawal hasil daripada lambakan PATI.

"Tindakan yang lebih cekap perlu dilakukan bagi memastikan penempatan pekerja asing berada pada lokasi dan kondisi yang baik dan tidak menganggu kesejahteraan rakyat tempatan.

"Dalam pada itu, usaha membanteras Pati perlu terus digiatkan agar kedaulatan negara terus terpelihara dan hak-hak ekonomi serta keselamatan rakyat terus terbela," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel