Jangan bangga nilai aset jika aliran tunai Felda bermasalah

Aliran tunai Felda yang bermasalah dikhuatiri menjejaskan kehidupan peneroka.

Gelagat Pengerusi Felda Tan Sri Shahril Samad yang hanya berbangga dengan nilai aset dan penyenaraian Felda Global Venture (FGV) dalam Bursa Malaysia tanpa merujuk pada aliran tunai semasa Felda, hutang peneroka dan kekurangan bantuan perumahan, membuktikan pelantikan beliau ke jawatan itu hanya bertujuan meraih sokongan politik.

Aliran tunai Felda yang bermasalah dikhuatiri menjejaskan kehidupan peneroka.

Gelagat Pengerusi Felda Tan Sri Shahril Samad yang hanya berbangga dengan nilai aset dan penyenaraian Felda Global Venture (FGV) dalam Bursa Malaysia tanpa merujuk pada aliran tunai semasa Felda, hutang peneroka dan kekurangan bantuan perumahan, membuktikan pelantikan beliau ke jawatan itu hanya bertujuan meraih sokongan politik.

Malah kemunculan Shahrir menggantikan Tan Sri Isa Samad hanya bertujuan mengaburi penyokong-penyokong Umno-BN yang tidak mengetahui situasi semasa Felda.

Dalam satu kenyataan bersama Pakatan Harapan yang diwakili Onn Abu Bakar (PKR), Datuk Ariff Sabri (DAP) dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah), sikap Shahrir yang gigih mempertahankan bahawa Felda tidak tenat amat berlawanan dengan realiti yang menimpa institusi itu.

"Shahrir masih berbangga dengan nilai aset Felda yang dikatakan sejumlah RM22 bilion dan mengatakan penyenaraian syarikat Felda dalam Bursa Saham membuktikan bahawa Felda tidak tenat.

"Shahrir sebagai pengerusi yang terpaksa memikul Felda selepas beberapa kegagalan yang dilakukan oleh pengerusi sebelumnya, beliau terpaksa menyembunyikan hakikat bahawa Umno BN dalam dekad ini gagal mempertahankan hak peneroka Felda," tegas kenyataan tersebut.

Pakatan Harapan berpendapat, kekurangan program Perumahan Generasi Kedua Felda, bantuan pendidikan tinggi kepada warga Felda serta peruntukan elaun sara hidup yang sedikit membuktikan bahawa kerajaan Umno-BN di bawah era Najib Razak meminggirkan warga Felda.

Shahrir juga dianggap turut menyembunyikan situasi semasa bahawa aliran tunai Felda dalam keadaan yang negatif tatkala penjualan semula saham FGV oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jelas membuktikan bahawa nilai saham syarikat Felda semakin terjejas.

Ini mengakibatkan KWSP mencatatkan kerugian sebanyak RM203.18 juta setelah menjual saham-saham miliknya dalam FGV pada bulan Ogos yang lalu.

"Sekiranya Shahrir mahu menjual aset-aset mewah di UK, ianya satu langkah yang baik. Tetapi, apakah ada jaminan bahawa wang yang diperoleh hasil penjualan akan diberikan semula kepada peneroka Felda yang menanggung hutang kira – kira RM8 bilion pada tahun 2014?

"Adakah Shahrir sanggup membuat siasatan dalaman berhubung pembelian aset-aset mewah ini, sedangkan pada masa yang sama bekas pengerusi yang terlibat dalam kes ini juga merupakan rakan se'Umno'?

"Keadaan ini, mengingatkan kami pada skandal hartanah MARA di Melbourne, yang dibelinya dengan harga yang lebih tinggi berbanding kos pasaran. Akhirnya, MARA memaklumkan mereka akan menjual semula aset-aset ini untuk mendapatkan wang. Tetapi, adakah dengan cara ini kes penyelewengan akan ditutup dengan mudahnya? Ke manakah perginya hasil siasatan pembelian aset?" kenyataan media itu dipetik.

Pakatan Harapan berpendapat, nilai aset yang terlalu banyak tetapi mempunyai aliran tunai yang bermasalah, menunjukkan Felda dalam satu keadaan buruk, apatah lagi melibatkan peneroka-peneroka FELDA yang berpendapatan kecil dan sederhana.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel