Amanah akan suburkan pendidikan pondok selepas tadbir Kelantan

Husam ketika berceramah di Pekan Jelawat kelmarinHusam ketika berceramah di Pekan Jelawat kelmarin

Sistem pendidikan pondok yang sudah sekian lama wujud di negeri Kelantan akan diperkasakan apabila parti Amanah Negara (Amanah) bersama Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata perkara ini selaras dengan keinginan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Antara kehendak Tok Guru yang dinyatakan kepada saya dan belum dapat dilaksanakan ialah usaha memperkasa guru-guru pondok supaya sistem pendidikan ini berkekalan dan terus menjadi mercu tanda negeri Kelantan.

"Kata Tok Guru, rahsia ketahanan pondok-pondok ialah guru-guru mereka menuntut ilmu di pusat-pusat pengajian yang tidak berharap untuk makan gaji," katanya ketika berucap di majlis ceramah perdana sempena penubuhan lima cawangan Amanah Dun Jelawat parlimen Bachok kelmarin.

Menurutnya pusat-pusat pengajian yang dimaksudkan itu ialah sistem pengajian di beberapa negara di timur tengah yang tidak mengeluarkan sijil kepada pelajar-pelajar mereka.

"Zaman dulu sistem ini ada di masjid haram di mana pelajar-pelajar dari seluruh dunia datang berguru dengan ulama'-ulama' dan mereka menadah kitab dari kulit ke kulit.

"Sistem ini tidak mengeluarkan sijil, tetapi pelajar-pelajar melalui tahap demi tahap dan mereka tahu tahap mereka dari segi keilmuan yang disahkan oleh guru masing-masing.

"Lulusan seperti inilah yang dulunya pulang ke Kelantan dan mendirikan pondok masing-masing sebagai pusat ilmu," katanya.

Di penghujung pentadbiran Tok Guru kata Husam, beliau mengemukakan cadangan supaya negeri Kelantan mengadakan peruntukan khas untuk menghantar pelajar ke pusat-pusat pengajian seperti ini.

"Bentuk pengajian ini masih wujud di beberapa negara-negara timur tengah seperti Syria, Jordan dan Yaman.

"Insya Allah jka kita (Amanah) tadbir Kelantan, cita-cita Tok Guru ini akan kita laksanakan," katanya.

Sebagai negeri yang satu-satunya memiliki tradisi pendidikan ini di Nusantara katanya, Kelantan perlu memperkasakan warisan pondok.

"Kita mahu Kelantan dan pondok jadi perkataan berkembar untuk selama-lamanya.

"Untuk tujuan itu, penyelidikan akan kita mulakan sekarang dan satu lembaga khas akan ditubuh sebaik menang pilihanraya," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel