Pemuda Pas Kelantan lulus usul putus hubungan dengan PKR

Muktamar Pemuda Pas Kelantan hari ini dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - Foto FB Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan

Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kelantan ke-58 hari ini meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR.

Usul itu dibawa oleh perwakilan Pemuda PAS kawasan Kota Bharu, Adnan Wazir.

Adnan berkata, PKR tidak mempunyai pendirian jelas dalam bertahaluf dengan Pas dan tindakan sesetengah pimpinan PKR masih menyerang pimpinan Pas termasuk ketika berkongsi pentas bersama Parti Amanah Negara mendorong kepada keputusan mengakhiri tahaluf siyasi dibuat.

"Dewan Pemuda Pas kawasan Kota Bharu mengusulkan keputusan segera dibuat oleh pimpinan Pas pusat berkenaan isu memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kelantan Ahmad Fadhli berkata, usul yang dipersetujui itu akan dibawa ke Muktamar Pas Pusat hujung bulan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob menegaskan hubungan dengan PKR ditentukan suara majoriti dalam muktamar.

Beliau berkata ahli-ahli dan penyokong Pas hendaklah bersabar menunggu muktamar yang diadakan tidak lama lagi.

"Kita mahu setiap keputusan hubungan dengan PKR ditentukan suara ramai dalam muktamar," katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan muktamar Dewan Ulamak Pas Kelantan di Machang hari ini.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata tindakan pemimpin PKR membuat tuduhan melulu terhadap Pas boleh mengelirukan orang ramai.

Menurutnya juga, cadangan bekas Timbalan Presiden Pas Datuk Nasharudin Mat Isa mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dianggap langkah terbaik.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel