Politik ekstrem: Haluan kanan di Malaysia?

Raja Bahrin Shah

Malangnya sekarang, RUU 355 yang dicadang dan disokong oleh Pas-Umno dan dihalang melalui penangguhan oleh Umno juga, digunakan untuk menakutkan dan memecah belahkan rakyat. Sandiwara RUU 355 yang sendiri cadang sendiri tangguh tetapi pembangkang dipersalahkan, dipanjangkan sehingga pilihan raya.

Raja Bahrin Shah

Kebelakangan ini dunia telah digoncangkan oleh tindakan pelampau perkauman - 'extereme racists' di negara barat yang mensasarkan umat Islam. Di Amerika Presiden Trump sendiri telah menyemarakkan semangat perkauman dan keagamaan terutamanya terhadap orang Islam.

Ahli-ahli politik haluan kanan di Perancis seperti Marie Le Pen dan di Belanda En Wilders juga telah meniupkan api perkauman dan Islamophobia. Ada tempat tempat orang Islam didiskriminasi sehingga tidak boleh berhijab atau berburkini menutup aurat mereka.

Kita berpendapat ini adalah penyakit kebencian keagamaan serta perkauman keterlaluan yang tidak patut diarahkan kepada orang Islam yang kita tentang selama ini. Tetapi anehnya, apa yang berlaku dan melanda negara Malaysia jauh lebih buruk.

Lebih aneh lagi yang melakukannya terhadap agama dan kaum lain adalah daripada kalangan orang Islam dan didahului oleh golongan para 'agamawan'! Lebih aneh dan menyedihkan lagi, perbuatan ini juga ditujukan kepada sesama Islam dan juga sesama bangsa Melayu sendiri dengan tohmahan kafir mengkafir serta gelaran munafik dan sebagainya!

Bangsa dan agama bukan Islam sendiri tidak melakukan ini ke atas sesama golongan mereka sendiri di Eropah. Kenapakah kita begitu buruk kelakuan dan akhlaknya? Kita melakukan sesuatu yang bersikap keterlaluan sama sendiri dan dalam masa yang sama menuntut sikap wasatiyah serta toleransi diamalkan!

Yang paling menyedihkan adalah sikap mengkafirkan sesama sendiri kerana berbeza fahaman. Tidak sehaluan pendekatan politik dalam pindaan rang undang-undang dipersoalkan akidah serta amalan rakan sesama pembangkang Islam walaupun isu belum dibahas atau diundi pun lagi untuk mengetahui apakah pendirian masing masing!

Apabila pembangkang muslim 'membantah penangguhan perbahasan rang undang-undang' bagi kali ketiga, kami dituduh penentang RUU 355! Walhal kami membantah kerana mahu RUU dibahas supaya boleh diundi untuk kelulusan!

Anehnya yang kononnya ingin sangat RUU 355 diluluskan tidak pula membantah penangguhan bagi kali ketiga itu! Sangat aneh dan luar biasa pendirian mereka dalam kebencian yang membara dalam hati mereka yang sangat prejudis terhadap kami sesama Islam.

Kita tidak mendengar ekstremis barat hari ini mengeluarkan perintah terbuka untuk bunuh orang Islam atau sesama agama mereka. Di Malaysia laungan 'halal darah', 'wajib hapuskan', munafik serta murtad menjadi kebiasaan tanpa tindakan dari pihak berkuasa!

Ada juga mufti negeri secara terbuka mengisytihar ahli politik parti tertentu 'kafir harbi' tanpa tindakan diambil terhadap beliau. Keadaan politik esktremis keagamaan sangat kronik terhadap sesama Islam dan juga bukan Islam hari ini tanpa tindakan dari pihak kerajaan.

Politik kebencian agama serta kaum telah membolehkan Donald Trump menjadi Presiden dan mungkin akan membantu calon bersikap perkauman dan anti-Islam, Le Pen, dari Perancis dan negara Barat lain juga mencapai kejayaan.

Ini semua telah terbukti membuat orang Islam di Barat menjadi mangsa diskriminasi agama dan kaum dimana kita di Malaysia mengutuk sikap tersebut. Kerajaan juga kononnya membuat kenyataan akhbar betapa orang Islam di landa penindasan di Negara Barat.

Malangnya Malaysia mengalami situasi yang lebih kronik apabila sesama Islam 'dikafirkan' dan yang bukan Islam 'dikafir harbikan' kerana isu Rang Undang-undang 355 di Parlimen.

Walaupun kami hanya menuntut untuk hak perbahasan yang telah ditangguh untuk kali ketiga, kami telah dilabel anti undang-undang Syariah dan anti Islam. Isu Agama sedang dimanupulasi oleh kerajaan yang memerintah hari ini untuk kekal memerintah dan dibantu oleh sebuah parti Islam yang bersekongkol dengan pemerintah.

Kerajaan Malaysia hari ini tidak berhak mengutuk diskriminasi keagamaan dan kaum di Barat kerana manipulasi serta diskriminasi yang sama yang mereka lakukan ke atas orang Islam dan bukan Islam lebih dahsyat di Malaysia. Legasi pemimpin Islam popular yang inklusif, Almarhum Nik Aziz, yang ingin dipadamkan sedang berjalan secara terancang.

Pendedahan bukti kerjasama dan sumbangan kewangan dari Umno kepada Pas adalah bukti kerjasama ke arah kerajaan perpaduan (Unity Government) yang tidak direstui oleh Almarhum Nik Aziz, sedang diusahakan.

Kerajaan Malaysia meniru cara trend memperalatkan isu agama dan perkauman dari puak-haluan kanan di Barat hari ini untuk kekal berkuasa.

Agama diperalatkan untuk "memunafikkan" sesama Islam dan, isu perkauman digunakan untuk menyebar kebencian di kalangan berbilang kaum. 'Divide and rule' juga adalah taktik Barat untuk kekal berkuasa yang digunakan oleh kerajaan Malaysia hari ini.

Yang malangnya sekarang, Rang Undang Undang (RUU) 355 yang dicadang dan disokong oleh Pas-Umno dan dihalang melalui penangguhan oleh Umno juga, digunakan untuk menakutkan dan memecah belahkan rakyat. Sandiwara RUU 355 yang sendiri cadang sendiri tangguh tetapi pembangkang dipersalahkan, dipanjangkan sehingga pilihan raya.

Malaysia adalah negara yang sangat unik di mana diskriminasi permusuhan ditujukan bukan kepada orang yang datang dari luar saperti di Barat tetapi terhadap rakyat sendiri yang lahir dan dibesar di Malaysia. Ancaman keganasan mengunakan agama bukan daripada orang awam terhadap kerajaan, tetapi dari pihak yang bersekongkol dengan kerajaan terhadap orang awam Islam dan bukan Islam.

Ini seolah-olah datangnya dari pihak direstui atau ditaja oleh pihak berkuasa atau kerajaan sendiri. Sebelum ini kita pernah mendengar keganasan tajaan pihak kerajaan- state sponsored terrorism, berlaku hanya di Negara Komunis seperti China Komunis atau Russia.

Negara komunis menggunakan cara tersebut untuk menakut-nakutkan rakyat sendiri bagi mengawal kebangkitan serta kesedaran rakyat. Bagaimanakah budaya ini boleh wujud di bumi Malaysia yang kononnya mengamalkan budaya kesederhanaan- wasatiah? Ironinya juga Perdana Menteri telah menubuhkan Global Movements of Moderates- Gerakan Kesederhanaan Global, yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden Pas Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa yang rapat dengan pimpinan Pas sekarang.

Beliau telah dinamakan oleh Rafizi Ramli sebagai orang tengah yang telah menerima jumlah wang yang besar dari Datuk Seri Najib yang dikatakan untuk Pas. Sekarang ini pula hubungan kerjasama antara Umno dan parti Islam Pas adalah sangat rapat.

Bukankah sikap diskriminasi kaum dan ektrimis sangat bertentangan dengan ajaran serta syariat Islam sebenarnya? Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah lebih buruk dari diskriminasi yang sedang berlaku ke atas orang Islam di Barat.

Apa yang berlaku hari ini di Malaysia ditujukan kepada rakyat asal Malaysia beragama Islam dan juga bukan Islam yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Adakah pendekatan ekstrem kanan - keagamaan serta perkauman cara Donald Trump untuk mendapat kuasa akan digunakan oleh Najib untuk kekal berkuasa? Tandanya memang telah wujud melalui sesi-sesii parlimen kebelakangan ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel