Pas sedia tawan Kedah, kata pimpinan ulama

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

Pas sudah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Kedah daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Beliau berkata Pas akan meletakkan calon untuk memastikan sekurang-kurangnya Pas dapat memenangi majoriti kecil untuk tubuh kerajaan.

Antara sebab kami mengadakan Muktamar Pas Ke-63 di Kedah tahun ini ialah untuk menonjolkan bahawa kita sudah bersedia untuk memenangi PRU14 di Kedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pas Pulau Pinang di Yayasan An-Nahdhoh di Bukit Mertajam hari ini.

Muktamar Pas yang dijadual berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 27 April hingga 1 Mei ini bakal menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan baharu untuk menghadapi PRU14.

Beliau berkata anggota Pas telah membuat pelbagai kajian terperinci di Kedah dan hasil kajian itu mendapati Pas masih mendapat sokongan yang baik di kalangan rakyat Kedah.

"Mengikut kajian yang kita buat ke atas penduduk Kedah yang berbilangan kaum, mendapati bahawa mereka masih menyokong Pas untuk tubuh kerajaan di negeri itu, jadi kami akan letakkan lebih ramai calon," kata Nik Muhammad Zawawi.

Kali terakhir Pas memerintah Kedah ialah pada 2008 apabila berjaya memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala PKR menang empat kerusi dan DAP satu kerusi.

Sementara itu Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata Pas juga akan bertanding lebih banyak kerusi Dun dan Parlimen di Pulau Pinang dalam PRU14.

Beliau berkata PRU akan datang tidak sama seperti PRU lepas dan PAS negeri sudah bersedia dari segala sudut termasuk menghadapi pertembungan tiga penjuru.

"Jika dalam PRU13 kita hanya bertanding enam kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen, kali ini kita akan bertanding lebih daripada itu," katanya.

Tambahnya PRU14 dijangka diadakan lebih awal dan jentera pilihan raya Pas peringkat kawasan mestilah diaktifkan dan berada dalam mode bersedia manakala bilik gerakan mesti dibuka sebelum Jun 2017.

Pada PRU13, Pas Pulau Pinang hanya memenangi satu kerusi Dun iaitu di Permatang Pasir menerusi Datuk Mohd Salleh Man.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel