'Menggelar syaitan besar, syaitan kecil bukan cara Islam'

Ustaz Ahmad Awang Ustaz Ahmad Awang

Tindakan memanggil pihak yang mengkritik Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355 sebagai syaitan besar dan syaitan kecil jauh tersasar dengan cara Islam.

Penasihat Umum Amanah Ustaz Ahmad Awang berkata, RUU 355 harus dibawa sebagai salah satu kerja dakwah yang bergerak dalam konteks demokrasi melalui ruang perbahasan di parlimen.

"Memanggil mereka yang tidak bersetuju dengan RUU 355 sebagai syaitan kecil dan syaitan besar adalah jauh lebih tersasar dengan cara Islam. Islam mendidik agar kita sentiasa mengekalkan kedamaian.

"Seharusnya kita membawa isu RUU 355 sebagai salah satu kerja dakwah yang bergerak dalam konteks demokrasi. Gunakan ruang perbahasan di Parlimen untuk memberikan penerangan. Itulah jalan dakwah kita. Berdakwahlah dengan lebih berhikmah agar masyarakat lebih mudah memahami," tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menganggap RUU 355 diganggu oleh syaitan besar dan syaitan kecil.

"Disebabkan setiap perjalanan menuju Islam itu pasti diganggu oleh syaitan yang sentiasa mengekori di sepanjang jalan dan masa, termasuk perkara paling asas dan mudah seperti mengambil wuduk dan sembahyang pun ada was-was syaitan.

"Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia. Apatah lagi perkara Mahkamah Syariah yang hendak dimuliakan itu bergelumang dengan masyarakat umum yang masih dibejati karat semangat penjajah, menjadikan RUU 355 diganggu begitu rupa," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata memberi gelaran buruk kepada orang lain bukan jalan penyelesaian sebaliknya menyebabkan permusuhan dalam masyarakat.

"Memberikan gelaran buruk bukan jalan penyelesaian. Malah inilah yang paling disukai oleh syaitan kerana masyarakat akan berpecah belah dan saling bermusuhan.

"Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah saw bersabda: "Tidak sepatutnya seseorang yang benar itu menjadi pelaknat" (Riwayat Muslim)," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel