Kalau tak percaya pi pinjam pada ah long, kata Tun M

Mazlan Aliman (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Tun Mahathir sambil diperhatikan Aminolhuda Mazlan Aliman (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Tun Mahathir sambil diperhatikan Aminolhuda

Pengerusi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Tun Mahathir Mohamad menganggap penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah seperti meminjam wang daripada ceti haram atau ah long.

"1MDB ini kononnya adalah dana kekayaan negara tetapi duit itu bukan datang daripada kekayaan negara. Pinjam mana boleh jadi kekayaan, (tapi) jadi beban.

"Kalau tidak percaya pi pinjam pada ah long. Kita jadi kaya atau tidak? Nampak ah long dari jauh kita lari," tempelak Mahathir dalam ceramah Jelajah Semarak Kasih Felda di Parlimen Sekijang, Segamat di Johor kelmarin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, 1MDB bukan diwujudkan bagi menjana pendapatan kerajaan sebaliknya satu cara Najib yang juga Presiden Umno itu untuk mencuri wang.

"Inilah Najib. Dia kata wang yang dipinjam ialah kekayaan negara. Niatnya bukan untuk dilabur bagi dapatkan wang untuk negara.

"Tujuannya tak lain tak bukan ialah mencuri duit. Saya hairan ini adalah anak Tun Razak tapi akhirnya saya terpaksa terima hakikat bahawa Najib ini berhajat untuk curi duit.

"Sebab itu dia tubuh 1MDB, kerajaan punya duit tak cukup nak curi. Jadi, dia (Najib) pinjam RM42 bilion dan duit ini dicuri dengan bermacam-macam cara.

"Umpamanya, duit ini diguna untuk membeli stesen janakuasa elektrik dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran," jelas Mahathir dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

1MDB sebelum ini didedahkan meminjam RM20 bilion untuk membeli tiga janakuasa elektrik pada harga yang RM12.1 bilion iaitu melebihi harga pasaran.

Walaupun diberi kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang hampir tamat, syarikat-syarikat janakuasa 1MDB tersebut telah dijual pada harga RM9.83 bilion sekaligus mengalami kerugian mencecah RM2.27 bilion.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, 1MDB turut melabur sebanyak AS$1 bilion bersamaan RM3.2 bilion dengan Petrosaudi International (PSI) Limited tetapi wang tersebut disalah guna.

"Tetapi duit itu tidak diberi kepada Petrosaudi sebaliknya duit itu diselewengkan kepada beberapa syarikat yang akhirnya dapat kepada Jho Low.

"Dan daripada Jhow Low, duit itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Kita dengar RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun Najib. Perdana Menteri dalam dunia tidak pernah ada duit sebanyak itu," bidas Mahathir lagi.

Menganggap kepimpinan Najib tidak seperti arwahnya, Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri kedua, Mahathir menyifatkan wang adalah segala-galanya bagi Najib.

"Apabila dia (Najib) menjadi Perdana Menteri, ini bukanlah orangnya seperti bapanya kerana dasar perjuangannya hanya terhad kepada 'cash', duit.

"Dia jadi Perdana Menteri kerana mahu duit. Najib nak (duit) cara yang senang. 'Cash is king' bermakna dengan wang tunai dia boleh dapat segala-galanya.

"Perdana Menteri menjadi pencuri. Ini luar biasa. Dia mahu sogok semua orang untuk sokong dia supaya terus jadi Perdana Menteri. Bila dia tiada duit, dia perlu curi duit," selarnya.

Bukan Rosmah Mansor 

Tambah Mahathir lagi, pelbagai institusi berkaitan kepentingan rakyat juga terjejas akibat sikap Najib itu.

"Bila dia (Najib) jadi Perdana Menteri, tiada lain dia buat melainkan mengenal pasti di mana ada duit kerajaan. Mula-mula KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan), Felda dan Tabung Haji," katanya.

KWAP yang ditubuhkan pada 1 Mac 2007 merupakan dana pencen kedua terbesar Malaysia selepas KWSP yang berperanan bagi meraih pulangan pelaburan untuk membantu Kerajaan Persekutuan membiayai liabiliti pencen.

Setakat tahun lalu, aset KWAP dilapor berjumlah RM123 bilion dengan kira-kira 660,000 penerima pencen kerajaan yang mendapat manfaat hasil aktiviti KWAP. Setiap tahun, dianggarkan pembayaran pencen berjumlah RM15 bilion.

Sehubungan itu, Mahathir menekankan ahli Umno perlu menolak parti itu pada pilihan raya umum akan datang kerana parti itu tidak lagi seperti sebelum ini.

"Dia (Najib) nampak duit belaka. Tengok sini-sana nampak RM bukan Rosmah Mansor tapi - Ringgit Malaysia.

"Umno sekarang telah menyeleweng jauh dari perjuangan Umno sebenarnya. Kita memberi kuasa kepada kepimpinan Presiden Umno tetapi kuasa untuk berjuang demi kepentingan rakyat dan mewakili orang Melayu dalam gabungan parti kerajaan, malangnya tidak dilakukan Najib," tegas Mahathir lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel