Kerajaan didesak kaji semula sistem demerit bagi kesalahan trafik

Faiz FadzilFaiz FadzilTimbalan Pengerusi Protes Aes (Protaes) Faiz Fadzil mengesa kerajaan mengkaji semula sistem Demerit bagi kesalahan tarifik membabitkan pengguna kenderaan di negara ini.

 Beliau mempersoalkan penggunan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengambil alih sebuah syarikat swasta Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd.

"Segala peralatan melibatkan AES dahulunya dimiliki oleh syarikat swasta iaitu Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd yang kemudiannya telah diambilalih oleh LTAT melalui anak syarikatnya Irat Properties Sdn Bhd dengan modal pengambilalihan Aes berjumlah RM555 juta.

"Protaes mempertikai kenapa wang tabung anggota tentera digunakan sebegitu banyak? Apakah faedah keuntungan yang akan dinikmati oleh anggota tentera sedangkan kebajikan mereka yang seharusnya dipedulikan? Sekali lagi, wang rakyat digunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu atas alasan kepentingan rakyat," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 15 April lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mula menguatkuasakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Aes) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Keselamatan Jalan Raya (Kejara) bagi kesalahan trafik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik berkata, melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, digantung atau batal lesen akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat.

Faiz yang juga pengamal undang-undang berkata, pelaksanaan Awas bertentangan dengan prinsip keadilan undang-undang 'double jeopardy' sepertimana yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan di mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik akan menghadapi dua (2) hukuman serentak.

"Walaupun kemalangan jalanraya adalah suatu isu kritikal dalam negara, namun tindakan menghukum dua (2) kali adalah tindakan yang tidak adil kepada pengguna jalan raya dan bukan bersifat penyelesaian jangka pendek.

"Melalui sistem Awas ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik yang ditangkap melalui Aes akan dikeluarkan saman yang akan diserahkan secara pos ke alamat berdaftar yang terdapat di dalam pengkalan data JPJ.

"Saman yang dikeluarkan melalui AES ini mengenakan bayaran kompaun bermula RM150 dan maksima RM300.

"Sesiapa yang membayar kompaun yang ditawarkan pula akan dipotong mata demerit untuk jumlah tertentu dimana mata demerit permulaan sebanyak 20 mata akan dipotong dan pemilik lesen memandu boleh digantung untuk suatu tempoh tertentu jika kesemua 20 mata tersebut habis dipotong.

"Bukankah tindakan ini menambah beban pengguna jalanraya sesudah kompaun kesalahan trafik dibayar?

"Ditambah dengan keadaan keperitan rakyat hari ini akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi dan menekan," ujarnya.

Justeru tambahnya, persoalan lain yang menjadi tanda tanya adalah sama ada Aes ini adalah bagi membayar balik kerugian LTAT yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang amat tinggi dalam pengambilalihan Aes.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel