Tugas baharu Hishammuddin jaga keselamatan Sabah dianggap lucu

Hishammuddin Hussein

Pengumuman Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa antara tugasnya sebagai Menteri Tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah untuk memantau isu keselamatan di Sabah dianggap tidak munasabah dan melucukan.

Salahuddin Ayub

Pengumuman Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa antara tugasnya sebagai Menteri Tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah untuk memantau isu keselamatan di Sabah dianggap tidak munasabah dan melucukan.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, tugas itu boleh sahaja dilaksanakan dengan kedudukan Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan.

"Adakah tidak cukup kedudukan sebagai Menteri Pertahanan bagi menjamin keselamatan di Sabah atau satu sindiran sinis terhadap (Datuk Seri) Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri yang tidak cekap menjalankan tugasnya?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin kelmarin berkata, jawatan beliau sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di JPM adalah membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bekerjasama rapat dengan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Jawatankuasa pemantau Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dipengerusikan Perdana Menteri sendiri, manakala Lembaga Penasihat Esszone dipengerusikan bersama TPM serta ketua menteri Sabah.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, Najib perlu melaporkan secara telus kepada rakyat tentang prestasi kerja Zahid yang secara rasminya bertanggungjawab penuh untuk membantu tugas-tugas yang diarahkan olehnya pada bila-bila masa.

"Adakah Zahid Hamidi gagal mencapai KPI sebagai TPM?

"Najib juga perlu mengumumkan kepada rakyat mengenai keperluan melantik sepupunya Hishammuddin yang pastinya melibatkan dana awam," katanya.

Menurut Salahuddin juga, Najib menunjukkan kelemahan dalam pentadbirannya apabila memerlukan seorang lagi menteri untuk menjalankan tugas-tugas khas dalam keadaan telah wujud lapan menteri di JPM.

"Adakah kemungkinan tugas-tugas khas yang Najib pertanggungjawabkan itu adalah tugas-tugas "rahsia dan kotor" untuk membersihkan golongan tertentu dalam beberapa isu dan skandal mega seperti 1MDB, MO1, Felda, Tabung Haji dan lain-lain?

"Najib mesti menjelaskan segera kepada rakyat tentang isu tugas-tugas khas Hishamudin yang menjadi misteri sekarang ini. Rakyat menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam masalah yang sangat melucukan ini," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel