Pelaku rasuah tidak layak berada di mana-mana kementerian - Siti Mariah

Dr Siti MariahDr Siti Mariah

Tindakan menukar pelaku rasuah ke kementerian lain tidak menjamin terhentinya gejala rasuah, tegas Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, pelaku rasuah tidak layak berada di mana-mana kementerian sebaliknya harus dipenjarakan.

Menurut beliau, tambah bahaya jika rasuah dilakukan dalam Kementerian Pertahanan yang mempunyai akses kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

"Sewajarnya, jika golongan yang terlibat dengan rasuah ini adalah dari Kementerian Pertahahan, hukuman lebih keras patut dijatuhkan terhadap pesalah tersebut kerana mereka terlibat dengan pelbagai perkara sulit dan penting berhubung kepentingan strategik negara.

"Bayangkan, jika mereka terlibat dengan rasuah untuk pertukaran dokumen sulit negara, tidakkah kedaulatan negara secara terbuka akan terjejas dan dimanipulasi oleh kuasa-kuasa asing yang berkepentingan.

"Jika sekadar ditukar kementerian sahaja, apakah jaminan mereka tidak akan mengulang semula jenayah rasuah tersebut?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Mariah berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu warga kementeriannya yang didapati bersalah melakukan rasuah ditukar kementerian.

Mengulas lanjut, Siti Mariah yang juga ahli parlimen Kota Raja berkata, beliau kesal dengan pemikiran Hishammuddin yang dilihat tidak serius dalam menangani gejala rasuah yang semakin kritikal dalam negara ini.

"Ketika rakyat dari banyak negara mengambil tindakan tegas dengan memalukan dan menjatuhkan pemimpin yang melakukan rasuah, menteri dari Malaysia pula mengambil langkah mundur serta pelik yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana negara yang maju pemikiran rakyatnya.

"Barangkali beginilah caranya Kerajaan Umno-BN menunjukkan kepada dunia cara mereka menangani masalah rasuah. Dan tidak hairanlah nama negara ini juga sering diketawakan oleh dunia akibat pelbagai skandal rasuah terutamanya kes 1MDB yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel