Larang bukan Islam berniaga waktu maghrib keterlaluan

Hanipah China toen KBHanipah China toen KB

Larangan kepada bukan Islam menghentikan urusan perniagaan ketika waktu solat maghrib tidak munasabah, kata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Ketibaan waktu solat mahgrib memang patut dihormati oleh penganut Islam dan patut mereka menghentikan urusan perniagaan bagi menunaikan tanggungjawab untuk bersolat.

"Saya setuju dengan Datuk Husam Musa (Adun Salor) bahawa tidak wajar peraturan seperti ini dilaksanakan atas nama Islam," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa pada Selasa mempertikaikan tindakan kerajaan negeri itu mewajibkan semua peniaga, termasuk bukan Islam menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib.

Beliau yang juga Naib Presiden Amanah  menyifatkan arahan menghentikan operasi yang melibatkan peniaga bukan Islam dalam ibadat umat Islam itu tidak sesuai.

Kata Hanipah lagi,  sebagai seorang Islam beliau bersetuju untuk menghormati waktu maghrib.

"Namun bila sampai ke peringkat melarang orang bukan Islam Islam berniaga pada waktu tersebut, ini sudah keterlaluan dan tidak wajar (unfair) kepada mereka.

"Untuk kerajaan Kelantan, fikirlah cara lain dengan tidak aniaya orang bukan Islam," katanya.

Menurutnya, beliau terkejut apabila membaca laporan media mengenai  larangan tersebut.

"Secara jujur saya tidak tahu apa mesej yang kerajaan Pas Kelantan nak bawa," katanya.

"Dari segi perundangan pada hemat saya, tindakan kerajaan Kelantan ini adalah tidak berpelembagaan (unconstitutional) dan boleh dicabar di Mahkamah," katanya.

Andy TanAndy TanSementara itu seorang peniaga peralatan binaan yang ditemui, Andy Tan mengakui peraturan ini sudah lama menumbulkan keresahan di kalangan peniaga buka Islam.

"Di kawasan pasar malam diadakan berdekatan rumah kedai, penguatkuasa selalu mengganggu dan memberi amaran supaya kedai milik bukan Islam menghentikan operasi di waktu larangan itu.

Menurutnya apa yang ditimbulkan ini bukan perkara baharu dan wajar diambil tindakan segera.

Sementara itu bekas ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai DAP berkata beliau akan membuat tidakan saman terhadap kerajaan Kelantan berhubung perkara ini.

Pada Isnin semua peniaga, termasuk bukan Islam di Kelantan perlu menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib, kata Exco Negeri itu Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan itu berkata, arahan itu bagi memastikan semua pihak, termasuk pembeli boleh menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan kegiatan masing-masing.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel