Premis Parti Generasi Baru bukan di kedai Jubin, kata Gobi Krishnan


S Gobi Krisnan Setiausaha Agung parti Generasi Baru (Newgenparty) S Gobi Krisnan hari ini mempertahankan  alamat premis parti itu bukan milik sebuah kedai Jubin seperti kenyataan rasmi Jabatan Pendaftar  Pertubuhan (ROS) semalam.

Gobi Krisnan berkata, premis parti yang ditubuhkan sejak 2013 itu memang wujud dengan alamat yang dirujuk sebagaimana didaftarkan dengan ROS.

"Kemungkinan salah faham wujud kerana alat yang didaftarkan adalah di tingkat 2 manakala yang disebut media sebagai Kedai Jubin adalah kedai yang beroperasi di tingkat bawah premis kami.

"Nombor unit juga betul 260 dan satu deretan premis berkenaan mempunyai lebih kuran 10 pintu memang mempunyai nomro unit yang sama iaitu 260," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjawab balas kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohamad Razin Ahdullah semalam, di petik berkata,ROS sedang menyiasat permohonan Parti Generasi Baru untuk menukar nama kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) berikutan terdapat beberapa dokumen permohonan itu yang menimbulkan keraguan.

Mohammad Razin berkata antaranya termasuk alamat ibu pejabat parti itu yang didakwa lokasi berlangsungnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk menukar nama dan pemilihan kepimpinan parti adalah milik sebuah kedai jubin.

Selain itu katanya, maklumat dua daripada 12 Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dinyatakan dalam EGM berkenaan juga tidak benar berdasarkan nombor kad pengenalan mereka.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai AJK itu, Gobi Krishnan berkata, pihaknya telah menyemak dua identiti yang meragukan itu tetapi ujarnya tidak ada sebarang keraguan.

"Telah disahkan mereka AJK berdaftar parti wujud dan hadir pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) tersebut. Kesemua 12 AJK berdaftar ini sedia hadri ke ibupejabat ROS untuk mengesahkan perkara ini," ujarnya.

Menurut Gobi Krishnan lagi beliau sudahpun pergi ke ROS di Putrajaya semalam untuk bertemu dengan Nohamad Razin sebaliknya dimaklumkan beliau tiada dipejabat setelah beberapa kali untuk membuat temujanji sebelum ini gagal sehingga ROS mengeluarkan kenyataan rasminya semalam.

Mohammad Razin dalam kenyataannya juga berkata, pihaknya akan memanggil saksi berkaitan termasuk AJK yang menghadiri EGM itu untuk memberi keterangan dan jika didapati, parti itu memberi maklumat palsu, mereka akan berdepan tindakan termasuk pembatalan parti.

Katanya, selagi permohonan untuk menukar nama parti itu tidak diluluskan ROS, nama PBR dan logonya tidak boleh digunakan.

Sebelum ini, difahamkan, Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, S Gobi Krishnan menghantar permohonan untuk menukar nama parti itu kepada PBR, serta meminda logo, selain mengemukakan senarai kepimpinan baharu parti termasuk Datuk Mohd Ezam Mohd Nor sebagai Presiden dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, Presiden asal parti itu, Datuk G Kumar mendakwa, perkara itu berlaku tanpa pengetahuannya kerana tiada sebarang mesyuarat atau notis dibuat, selain tidak mendapat persetujuan lebih 300 ahli.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: