Bersatu terima keputusan Kamarulazman keluar parti patuhi perlembagaan

Datuk Dr Sharuddin Md Salleh Datuk Dr Sharuddin Md Salleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini secara rasi menerima keputusan bekas Ahli Majlis tertingginya Kamarulazman Habibur Rahman untuk meninggalkan parti itu.

Dalam kenyataan rasmi Bersatu itu  peletakan jawatan Kamarul mematuhi Fasal 10.2.2 Perlembagaan parti, seorang ahli yang mengisytiharkan keluar parti terlucut keahliannya secara serta-merta.

Namun begitu dakwaan Kamarulazman bahawa wujud amalan pilih kasih (kronismes) dalam pimpinan di peringkat pusat dinafikan pengurusan pusat parti itu.

"Berhubung dakwaan Saudara Kamarulazman bahawa wujud amalan pilih kasih dalam pelantikan Ketua-Ketua Penaja Bahagian PPBM yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan parti, PPBM menafikan dakwaan ini.

"Pelantikan dibuat secara rundingan dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam menggerakkan parti di peringkat akar umbi berlandaskan prinsip musyawarah.

" Ini memandangkan terdapat ramai pihak yang berminat dan bersedia untuk menerajui pimpinan di peringkat bahagian PPBM di seluruh negara dan kata sepakat perlu dicapai sebelum pelantikan dibuat," ujar Setiausaha Agung Bersatu Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam kenyataannya petang ini.

Kenyataan itu juga menyebut pucuk pimpinan parti itu telah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam pelantikan Ketua-Ketua Penaja Bahagian dengan mengambilkira faktor sumbangan seseorang calon yang hendak dilantik, pengalaman, bakat kepimpinan dan penerimaan oleh masyarakat setempat.

"Setakat ini sebahagian besar Ketua Penaja Bahagian PPBM telah dilantik dan hanya beberapa bahagian sahaja yang memerlukan rundingan lanjut dengan beberapa pihak di akar umbi.

"Saudara Kamarulazman sendiri telah dilantik sebagai Ketua Penaja PPBM Bahagian Teluk Kemang setelah rundingan lanjut dibuat dengan pelbagai pihak di akar umbi.

"Pelantikan tersebut dibuat setelah pucuk pimpinan mengambilkira faktor sumbangan beliau kepada parti dan penerimaan oleh ahli-ahli parti.

"PPBM masih di peringkat penajaan dan pastinya memerlukan sedikit masa untuk mantap. Walaupun masih di peringkat awal, saya bersyukur kerana sambutan rakyat terhadap PPBM amat memberangsangkan dan telah banyak kejayaan yang ditempa oleh parti." ujarnya.

Sebagai sebuah parti baharu, ujarnya lagi, Bersatu tentunya amat mengharapkan sokongan dan dokongan rakyat, terutamanya para ahli dan penggerak parti untuk bersama-sama memperkukuhkan parti dan memberikan fokus kepada gerakerja untuk memenangi PRU14.

"Saya bagi pihak pimpinan tertinggi PPBM mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli dan penggerak parti yang terus setia kepada parti dan bersedia untuk mengharungi segala cabaran demi meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia.

"Kepada Saudara Kamarulazman, saya bagi pihak pimpinan tertinggi PPBM merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau selama ini serta mendoakan yang terbaik untuk beliau bagi masa hadapan," ujarnya.

Semalam Kamarulazman yang juga Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mengumumkan beliau keluar parti  dalam satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur setelah menjadi antara salah seorang daripada 7 pengasas parti Bersatu ketika ditubuhkan pada Sepmtember tahun lalu.

Pada 2 April lalu GKCM seluruh negeri menetapkan pendirian bersama dalam mesyuarat gabungan itu untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat Bersatu.

GKCM telah mengenalpasti beberapa perkara yang menjadi punca permasalahan parti yang diterajui Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu punca kerosakan bangsa Melayu sejak zaman berzaman.

Pada 5 April Muhyiddin dalam sidang medianya menafikan dakwaan GKCM wujud kronisme dalam menyusun barisan kepimpinan parti itu.

Kata Muhyiddin dakwaan itu hanya dilakukan oleh sebahagian kecil ahli parti.

Menurut Muhyiddin lagi, pihaknya sedia berbincang untuk menjelaskan duduk perkara sebenar gerakan politik yang dibawa oleh parti itu kepada GKCM yang masih kurang jelas.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: