Gemar berkongsi no. tel bimbit punca kebocoran data peribadi

Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenal pasti kecuaian pengguna data (syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi) dan sikap rakyat Malaysia yang gemar berkongsi data peribadi, sebagai dua faktor utama kebocoran data peribadi terutamanya melibatkan nombor telefon bimbit, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menurut kementerian itu, di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), setiap syarikat pengguna data wajib mematuhi tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi dalam mengendalikan data peribadi milik pelanggan bagi memastikan data peribadi tersebut tidak disalahgunakan.

"Kegagalan mematuhi prinsip-prinsip ini merupakan suatu kesalahan yang mana jika sabit kesalahan, pengguna data boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, Seksyen 43 Akta 709 memperuntukkan mengenai hak subjek data (pelanggan) untuk menghalang pemprosesan data peribadi oleh pengguna data bagi maksud pemasaran langsung,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Senator Rahemah Idris.

Kegagalan mematuhi peruntukan itu, kata kementerian berkenaan, akan menyebabkan pengguna data atau syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Rahemah dalam soalannya ingin mengetahui punca di sebalik isu rakyat yang menerima panggilan-panggilan daripada pihak tertentu yang boleh mengganggu privasi mereka.

Selain itu, beliau turut ingin mengetahui langkah-langkah di bawah akta sedia ada yang boleh diguna pakai sekiranya rakyat masih lagi diganggu pihak tidak bertanggung jawab ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: