Ribuan Pati dari China dikhuatiri bekerja di Johor

Projek Forest City dengan tambakan laut di wilayah Johor membentuk empat pulau yang dilapor media luar melibatkan kos mencecah RM100 bilion.Projek Forest City dengan tambakan laut di wilayah Johor membentuk empat pulau yang dilapor media luar melibatkan kos mencecah RM100 bilion.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Senai, Wong Shu Qi yakin angka pendatang asing tanpa izin (Pati) dari China untuk bekerja di Johor mencecah ribuan orang dengan mungkin dimainkan sindiket yang menyamar sebagai ejen.  

"Pada 2015, (sidang) Dun (Dewan Undangan Negeri) Johor memberitahu ada 536 Pati dari China didapati bekerja di Johor.

"Namun, saya percaya jumlah ini telah melebihi ribuan orang," lapor akhbar Oriental Daily.

Menurutnya, sindiket antarabangsa yang terbabit menyeludup pekerja-pekerja binaan ke Johor itu telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, seramai 18 petani di China terpaksa bermalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selepas ditipu ejen palsu yang menyalahgunakan nama pemaju hartanah di negara itu yang melabur di Malaysia.

Umpan untuk menjadi pekerja binaan di Johor itu dilapor mendorong mereka terbabit menjual tanah dan ternakan bagi mengumpul sejumlah 20,000 hingga 60,000 yuan (RM12,700 hingga RM38,300) untuk dibayar kepada ejen China berkenaan.

Mereka selanjutnya mendakwa dibawa dari Guangzhou ke Johor Bahru untuk bekerja di tapak binaan dengan tawaran gaji 9,000 yuan (RM5,745) dan dijanjikan kenaikan sehingga 13,000 yuan (RM8,298) sebulan selepas tempoh percubaan dua bulan.

Dalam hal berkaitan, projek Forest City dengan tambakan laut di wilayah Johor membentuk empat pulau yang dilapor media luar melibatkan kos mencecah RM100 bilion turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir.

Beliau bimbang Forest City membuka ruang kepada penjajahan China malah menjual kedaulatan negara dengan hampir 700,000 warga China bakal menetap dan diberi status kewarganegaraan.

Forest City merupakan projek usahasama antara syarikat pemaju hartanah gergasi milik kerajaan China yang berdaftar dalam Bursa Saham Hong Kong, Syarikat Country Garden Holdings Co Ltd dengan anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Syarikat Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

Majlis perasmian projek yang dijangka siap dalam tempoh 20 tahun itu disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 6 Mac tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis sama mengumumkan Forest City di Gelang Patah, Johor Bahru sebagai kawasan bebas cukai dan tiada kekangan terhadap ekuiti asing di kawasan itu.

Pada masa sama, Johor juga sedang rancak dengan projek mega Iskandar Malaysia yang menyaksikan China kekal sebagai pelabur terbesar dengan pelaburan berjumlah RM22.2 bilion setakat Jun tahun lalu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: