Amanah anggap Nik Aziz tokoh reformasi fiqh

Antara peserta Nunji yang memenuhi Dewan Perhimpunan Cina Kota Bharu hari iniAntara peserta Nunji yang memenuhi Dewan Perhimpunan Cina Kota Bharu hari ini

Parti Amanah Negara (Amanah) menganggap sumbangan terbesar bekas menteri besar Kelantan, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada dunia Islam ialah reformasi pelaksanaan Fiqh Islam khususnya dalam bidang politik dan kemasyarakatan.

Penasihat umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang berkata, kerana kesungguhan beliaulah maka Pas membenarkan calon wanita bertanding dalam pilihan raya.

"Saya ingat semula ketika perkara ini dibincangkan tiada orang lain berani menyokong pendapat ini kerana pegangan ketika itu menganggap Islam menolak wanita sebagai pemimpin.

"Hujah beliau yang kemas dan bersungguh-sungguh bersandarkan fiqh semasa menjadikan semua akur," katanya merasmikan Nadwah Ulamak Harapan Baru (Nunji) di dewan perhimpunan Cina Kota Bharu pagi ini.

Malah dalam mentadbir Kelantan selama lebih 20 tahun kata Ahmad, pelbagai pembaharuan berkaitan fiqh direformasi semula.

"Dulu kita belajar agama sebagai 'fiqh ahkam' yang berteraskan hukum halal haram bukannya satu usaha kefahaman menyeluruh berdasarkan maqasid syariah.

"Sebab itu berkenaan orang bukan Islam, hanya kategori kafir zimmi, kafir harbi dan kafir muahad yang ada dalam perkiraan kita.

"Sedangkan hakikat masakini jauh berbeza apabila negara-negara meperkenalkan konsep warganegara (citizenship)," katanya.

Nik Aziz katanya, membuat perubahan besar berkaitan hal ini dalam pentadbirannya.

"Orang bukan Islam dilantik ke jawatan setaraf orang Islam seperti ahli majlis daerah, penghulu, pegawai lantikan politik yang tentu tidak dibolehkan jika kitab fiqh berkaitan kedudukan orang kafir di bawah kerajaan Islam dirujuk.

"Beliau juga membina landasan penting berkaitan pakatan politik dengan pihak lain yang dianggap tidak bermatlamat menegakkan Islam," katanya.

Nunji menurutnya bertujuan membina semula pendekatan Islam sesuai dengan keperluan masa depan di Malaysia.

"Perbincangan di sini akan diasaskan kepada fiqh yang lebih luas termasuk fiqh al muwathanah (kenegaraan) yang boleh dilaksanakan secara praktikal dalam persekitaran semasa.

"Dalam usaha mencapai perkara ini, maqasid syariah akan menjadi asas penting supaya Islam dilihat berkemampuan menyelesaikan semua masalah yang berbangkit dalam masyarakat," katanya.

Melalui pengenalan konsep ini katanya, Islam akan dapat dilaksanakan di negara Malaysia yang mempunyai latarbelakang tersendiri tanpa mengurangkan pegangan asal Islam.

"Kita mahu Islam yang asal sebagai rahmatan lil alamin dapat difahami dan bukan Islam yang menjadi bahan ketakutan kerana pendekatan kita yang sempit dan lari dari kaedah dakwah Rasulullah S.A.W.," katanya.

Program Nunji anjuran Amanah Kelantan menampilkan tiga pembentang kertas kerja utama iaitu, Dr. Fauzi Zakaria, Pengarah Panel Syariah Amanah, Ustaz Zolkarnain Abidin dan Ustaz Wan Ji Wan Husin.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel