Adun Pujut: SPR akur keputusan mahkamah

Dr Ting Tiong Choon

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini bahawa Dr Ting Tiong Choon (gambar) kekal sebagai Anggotai Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak N74 Pujut.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata suruhanjaya itu akan mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan keputusan mahkamah.

"SPR akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan perkara ini bagi memuktamadkan keputusan yang melibatkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini membatalkan keputusan Dun Sarawak yang melucutkan keanggotaan Dr Ting sebagai Adun N74 Pujut yang mengakibatkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kerusi itu.

Berdasarkan keputusan itu juga, mahkamah memutuskan bahawa tiada kekosongan luar jangka yang berlaku dan jawatan ADUN Pujut perlu dikembalikan kepada Dr Ting.

Pada 12 Mei, Dr Ting dilucutkan kelayakan sebagai Adun Pujut kerana didakwa pernah memegang dua kewarganegaraan (Malaysia dan Australia) selepas usul itu dibentangkan pada DUN Sarawak.

Pada 7 Jun, Dr Ting memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan DUN itu melucutkan kelayakannya sebagai anggota dewan berkenaan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel