Pas Sarawak cadang tapisan wajib bagi status kelayakan calon pilihan raya

Jofri Jaraiee sarawak

Pas Sarawak mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tapisan wajib bagi mereka yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya di negara ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Jofri Jaraiee berkata kerajaan perlu membuat tapisan terhadap bakal calon sebelum mereka dibenarkan bertanding pada pilihan raya dan beliau menggesa langkah itu dilaksanakan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kami tidak mahu isu ini berlaku lagi kerana ia akan membazirkan wang rakyat sekiranya pilihan raya kecil perlu diadakan bagi menggantikan seseorang wakil rakyat, tak kiralah dari kerajaan atau pembangkang, yang didapati memiliki dua kerakyatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kelayakan Adun Pujut dari DAP Dr Tiong Choon Ting yang dilucutkan di bawah Perkara 17(1)(g) perlembagaan negeri pada 12 Mei lalu kerana secara rela memperoleh kerakyatan negara lain.

Usul itu dibentangkan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan sokongan undi 70 wakil rakyat Barisan Nasional. Semua 10 wakil rakyat pembangkang tidak menyokong.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi semalam memutuskan Ting kekal sebagai adun Pujut.

Sementara itu, bercakap pada sidang akhbar di sini, pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Sarawak mengadakan siang tergempar dalam masa dua minggu akan datang berikutan keputusan itu.

“Rakyat di Sarawak perlu tahu mengenainya dan Ketua Menteri patut memohon maaf,” katanya.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menangani perkara berkaitan keputusan pilihan raya kerana ia adalah hak eksklusif mahkamah pilihan raya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel