Amanah sasar 9 kerusi Dun, 1 Parlimen di Melaka

 Adly Zahari

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka mensasarkan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu kerusi Parlimen dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari berkata kesemua kerusi sasaran parti itu adalah kerusi campuran dan kerusi majoriti tipis dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2013 lalu, namun ia masih bergantung kepada perbincangan bersama parti gabungan dalam Pakatan Harapan.

"Tumpuan kita (Amanah) kepada sembilan kerusi Dun dan satu Parlimen. Namun ia bergantung kepada perbincangan Pakatan Harapan.

"Sasaran Amanah tujuh daripada kerusi Dun tersebut adalah kerusi campuran.

" Ini kerana tertubuhnya Amanah berdasarkan sokongan kepada seluruh masyarakat jadi kita mengambil kira kekuatan itu (kerusi campuran) untuk memilih kawasan meletakkan calon parti.

"Kita yakin Pakatan Harapan masih dapat mengekalkan kerusi yang pernah dimenangi pembangkang dalam PRU lalu cuma untuk dapatkan kerusi campuran kita melihat kepada kesesuaian calon dalam pakatan,"ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui ketika hadir  bersama pimpinan Amanah negeri dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Shah Beach Resort, Klebang,Ahad.

Menurut Adly lagi, Amanah bukan sahaja menumpukan kepada kerusi yang pernah ditandingi Pas tetapi turut memberi tumpuan kepada kerusi yang dimenangi tipis oleh BN di negeri itu.

Justeru beliau berkeyakinan Pakatan Harapan Melaka berpotensi untuk meraih sekurang-kurangnya 19 kerusi Dun dalam PRU-14 nanti.

Dalam PRU13 lalu di bawah Pakatan Rakyat hanya memperoleh dua kerusi Parlimen yang dimenangi wakil rakyat DAP dan PKR. Manakala Dun sebanyak tujuh kerusi.

Ditanya mengenai isu yang menjadi tumpuan di negeri itu, beliau menegaskan ia masih lagi berkaitan dengan isu rasuah membabitkan kerajaan dan agensi di negeri Melaka.

"Isu rasuah yang berlaku di negeri ini memberi kesan kepada rakyat dengan tangkapan-tangkapan yang berjaya dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini.

"Tangkapan rasuah memberikan potensi berbanding PRU-13 lalu yang mana ketika itu isu rasuah ini agak kabur," ujarnya yang dipercayai merujuk kepada tangkapan terkini dilakukan SPRM membabitkan penglibatan pegawai polis Melaka dalam rangkaian perlindungan pusat urut dan judi haram di negeri itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: