Amanah kemuka cadangan urus rumah tidak terjual di Johor

Salahuddin Ayub rumah Johor

Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan kerajaan negeri Johor membeli dan menjual semula unit lot bumiputera yang tidak terjual kepada rakyat berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) melalui skim sewa beli (RTO).

Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata, skim ini akan memudahkan golongan ini memiliki rumah dengan menganggap bayaran sewa bulanan sebagai ansuran pembelian perumahan.

"Sebahagian mereka yang layak untuk membeli rumah mampu milik ini tidak mempunyai pekerjaan tetap atau penyata kewangan yang lengkap.

"Jadi adalah sukar untuk mereka dapatkan pinjaman perumahan daripada bank. RTO adalah pendekatan yang boleh memudahkan mereka memiliki rumah dengan menganggap bayaran sewa bulanan sebagai ansuran pembelian perumahan.

"Skim RTO boleh dibuat secara kerjasama dengan mana-mana bank. Skim RTO ini secara tidak langsung akan meningkatkan bilangan rumah mampu milik di negeri Johor," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan Johor boleh menerbitkan bon atau sukuk jangka panjang bagi mendapatkan dana.

Beliau berkata demikian mengulas laporan The Star mengenai kira-kira 80,000 unit lot bumiputera tidak terjual.

Exco perumahan dan kerajaan tempatan Johor Datuk Md Jais Sarday dilaporkan berkata, beliau akan berbincang segera dengan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi mencari jalan penyelesaian.

Mengulas lanjut, Salahuddin mencadangkan kerajaan Johor menubuhkan Tabung Hartanah Bumiputera yang berfungsi membeli lot bumiputera bukan kategori rumah mampu milik Johor (MMMJ) yang tidak terjual tetapi mempunyai lokasi strategik dan mempunyai jangkaan kenaikan nilai modal.

"Maknanya tabung amanah tersebut akan memegang hartanah dan menjual kembali di masa hadapan apabila ada pembeli bumiputera yang mampu untuk membelinya.

"Sementara itu, lot bumi itu akan disewakan sebelum dijual kepada pembeli bumiputera mengikut harga pasaran semasa ianya dijual," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel