Tsunami Melayu: Umno tidak akan mampu menahannya

Persidangan Perwakilan Umno Bahagian yang sedang berlansung kali ini dijangka akan menjadi pentas persidangan untuk membangkitkan semangat ahli-ahli parti untuk menyerang musuh politik parti itu - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yakin gelombong penolakan orang Melayu terhadap parti keramat bangsa itu Umno, semakin meruntuhkan kubu-kubu kuat parti berusia 71 tahun itu.

Beliau dalam kenyataannya hari ini dipetik berkata gelombang penolakan orang Melayu kepada Umno sedang berlaku kerana bagi kebanyakan orang Melayu, Umno yang dahulunya berjuang untuk membela nasib orang Melayu, kini telah berubah menjadi parti yang membela kepentingan seorang individu, iaitu Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Ketika orang Melayu sedang dihimpit masalah bebanan hidup yang paling teruk dalam sejarah negara, pemimpin Umno lebih sibuk membela Presiden mereka yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan daripada membela nasib orang Melayu.

"Lebih banyak kedengaran suara pemimpin Umno mengecam Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) kerana mengambil tindakan undang-undang terhadap petualang 1MDB daripada mendesak kerajaan supaya menghapuskan GST, mengawal harga barang, menghentikan pengenalan cukai baharu, menyediakan biasiswa pendidikan kepada pelajar Melayu, menambahkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Melayu dan mempertahankan Bahasa Melayu," ujarnya dalam kenyataan itu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa Umno telah berubah daripada sebuah parti Melayu kepada parti yang membela seorang individu. Kerana itu ramai ahli-ahli di akar umbi ujarnya, telah menyertai Bersatu kerana mereka tidak lagi mempercayai Umno.

"Bagi mereka, Umno telah mengkhianati perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Justeru, tidak ada sebab lagi untuk orang Melayu menyokong Umno dan mereka telah berhijrah menyokong PPBM.

"Apa yang saya katakan sebagai ‘trust deficit’ orang Melayu terhadap Umno sedang berlaku dengan pantas. Saya percaya, gelombang defisit kepercayaan Melayu ini akan bertukar menjadi tsunami Melayu yang besar dalam pilihanraya umum ke-14 dan menyaksikan perubahan kerajaan selepas itu.

"Kerana itu, pemimpin Umno seperti Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Razali Ibrahim kelihatan semakin gusar. Mereka ini adalah kawan-kawan saya semasa saya di dalam Umno dahulu. Sebagai seorang Islam, saya tidak menyimpan sebarang perasaan yang tidak baik terhadap mereka.

"Cuma, saya ingin memperkatakan sesuatu. Saya tahu bahawa mereka semua tahu masalah sebenar yang melanda Umno. Ketika saya di dalam Umno dahulu, ada antara mereka yang datang berjumpa saya untuk memberitahu masalah yang dihadapi oleh Umno dan meminta saya melakukan sesuatu. Mereka katakan kepada saya, jika saya sebagai Timbalan Presiden Umno pada ketika itu tidak melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan, negara akan hancur.

"Sebaliknya, mereka semua memilih untuk berdiam diri dan menutup kebenaran. Bukan setakat itu sahaja, mereka kemudiannya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin parti yang mereka sendiri tahu telah melakukan satu kerosakan yang amat besar kepada negara. Akhirnya, mereka kekal di dalam Umno dengan segala pangkat, kedudukan dan jawatan mereka.

"Yang membezakan kami adalah kebenaran. Tun Mahathir, saya, Shafie dan Mukhriz memilih untuk menyatakan kebenaran demi untuk menyelamatkan rakyat dan negara. Tetapi mereka semua memilih untuk menutup kebenaran semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu," ujarnya.

Khairy Jamaluddin MuhyiddinKecewa dengan Khairy

Muhyiddin turut melahirkan kekecewaannya terhadap Khairy  apabila mendesak Dr  Mahathir supaya bersara.

"Katanya beri peluang kepada orang muda untuk berpolitik.

"Saya mempunyai harapan yang agak tinggi kepada Khairy ketika berada di dalam Umno dahulu. Sebagai pemimpin sayap Pemuda Umno yang sepatutnya sarat dengan idealisme orang muda, beliau sewajarnya mendesak Najib supaya berundur. Sebaliknya, Khairy memilih untuk mendesak Tun Mahathir supaya bersara.

"Mendesak seorang pemimpin parti pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa kuasa supaya bersara bukanlah satu bentuk keberanian. Sebaliknya mendesak Najib yang mempunyai segala kuasa di tangannya supaya berundur dan bersara adalah lambang keberanian anak muda yang sebenarnya.

"Adakah Khairy dan barisan kepimpinan sayap Pemuda Umno masih memiliki idealisme pemuda? Atau adakah idealisme Pemuda Umno telah hilang entah ke mana kerana dijangkiti virus Cash is King?

"InsyaAllah, tsunami Melayu yang dicetuskan oleh PPBM akan meranapkan virus Cash is King yang sedang dideritai oleh Umno dan memulihkan kembali negara kita yang tercinta. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa kepada Ilahi," tegasnya.

Beliau turut merujuk kepada beberapa kenyataan pimpinan atasan Umno sebelum ini yang mengutuk kepimpinan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir. Mohamad.

"Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerang Tun Dr Mahathir dengan mengancam untuk mendedahkan ‘aib’ bekas perdana menteri itu terus bersuara mengkritik Najib.

"Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim, tidak semena-mena mengumumkan beliau bersedia melawan saya di Parlimen Muar dalam pilihanraya umum ke-14. Katanya saya sedang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk.

"Saya merasakan bahawa pemimpin Umno sedang gelabah. Mereka tahu bahawa rakyat dan orang Melayu sendiri, termasuk ahli-ahli Umno di akar umbi sedang menolak Umno.

"Dalam setiap program anjuran PPBM, ribuan orang Melayu hadir dan ramai daripada mereka dahulunya adalah penyokong Umno. Ini termasuk di kawasan-kawasan Felda yang dahulunya adalah kubu kuat Umno.

"Kawasan-kawasan tidak pernah berjaya ditembusi oleh parti pembangkang. Kini, dengan kehadiran PPBM bukan sahaja kawasan-kawasan ini dapat ditembusi, malah ribuan hadir untuk mendengar ucapan Tun Mahathir, saya, Datuk Seri Mukhriz dan pemimpin pembangkang yang lain.

"Fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara. Malah, beberapa hari lalu di Melaka, iaitu sebuah negeri yang dikatakan antara kubu kuat Umno selepas Johor, puluhan ribu rakyat hadir ke majlis sambutan Aidilfitri PPBM. Ini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangkakan semasa menubuhkan PPBM," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel