Ceupacs mahu bajet 2018 tumpu penjawat awam miliki rumah

Azih Muda

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) memohon supaya kerajaan memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha bagi membolehkan setiap penjawat awam memilik keupayaan untuk membeli rumah pada pembentangan Bajet 2018.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pihak kesatuan menyambut baik dan amat menghargai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan setiap penjawat awam memiliki rumah sendiri, namun beberapa isu perlu diberi perhatian bagi menjayakannya.

Beliau berkata beberapa kesukaran penjawat awam dalam isu ini memerlukan pertimbangan kerajaan dalam pelbagai aspek, misalnya dari segi harga rumah, keterdapatan, isu syarat-syarat pinjaman, dan juga dari segi kemampuan penjawat awam sendiri.

Katanya pihak kesatuan amat menghargai inisiatif kerajaan mewujudkan program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang merupakan hasil cetusan idea Perdana Menteri, dan berharap ia dapat dikembangkan dengan lebih meluas lagi di bandar-bandar utama di Sarawak.

Ia akan membantu kelestarian kehidupan penjawat awam sendiri, dan kita minta kerajaan pastikan harga rumah tidak naik terlalu tinggi terlalu pantas, sehingga menjadikan gaji penjawat awam tidak dapat menampungnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Bersama Jabatan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sarawak di Auditorium Pustaka Negeri, Kuching, hari ini.

PPA1M adalah satu skim rumah mampu milik untuk penjawat awam yang dilancarkan pada awal tahun 2013 sebagai inisiatif untuk membolehkan penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana membeli rumah yang selesa dari aspek saiz, reka bentuk, kualiti dan kos yang bersesuaian untuk mereka, khususnya di bandar-bandar utama.

Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 200,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), melebihi sasaran asal 100,000 unit di seluruh negara menjelang 2020, dan sehingga kini hampir 3,563 unit PPA1M telah siap dan diduduki.

Azih berkata Cuepacs juga memohon supaya bajet 2018 turut memberi pertimbangan kepada beberapa perlepasan cukai buat penjawat awam, selaras dengan pelaksanaan kutipan GST oleh kerajaan ketika ini.

Beliau memberi contoh perlepasan cukai individu yang mungkin boleh dinaikkan, perlepasan cukai untuk anak-anak yang masih belajar, termasuk di universiti, perlepasan terhadap perbelanjaan menjaga ibu-bapa dan sebagainya.

Katanya Cuepacs turut meminta supaya kerajaan menimbangkan untuk membuat semakan semula terhadap perubahan gaji kakitangan awam, khususnya selepas kerajaan selesai melaksanakan proses semakan 240 skim perkhidmatan ketika ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel