Pemuda Harapan sokong dasar 100 hari pemerintahan PH, tambah 3 dasar anak muda

Pemuda Pakatan Harapan

Pemuda Pakatan Harapan (Pemuda Harapan) menyokong penuh dasar 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan yang digariskan Majlis Presiden Pakatan Harapan malam semalam sekaligus menggariskan tiga lagi isu penting membabitkan kepentingan generasi muda negara.

Dalam satu kenyataan media bersama, Pemuda Harapan turut menyarankan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan supaya menambah semula peruntukan pendidikan; mereformasi dasar harga rumah mampu milik; dan menawarkan pekerjaan dan inisiatif keusahawanan.

"Pemuda Pakatan Harapan mewakili suara anak muda negara melahirkan penuh penghargaan dan sokongan padu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 13 Julai 2017 yang mengumumkan struktur kepimpinan Pakatan Harapan yang dibarisi tokoh-tokoh rakyat dan negarawan yang komited dan ikhlas dalam membawa perubahan kepada negara.

"Pemuda Harapan berikrar untuk menjadi kesatria barisan hadapan bagi menggembleng sokongan padu anak muda negara ini dalam menjayakan misi untuk membentuk kerajaan baru dalam pilihan raya umum ke-14 yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbir urus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan bersama empat perenggan itu ditandatangani Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Dapsy Wong Kok Wah dan Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan.

Semalam Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan dasar 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang merangkumi tujuh perkara iaitu:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat;
• Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan Felda.

Pemuda Harapan yakin generasi muda yang mewakili 60 peratus jumlah penduduk negara ini begitu terkesan dengan dasar kerajaan BN yang menekan kehidupan mereka.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel