Umno ulangi sikap gengster, dakwa Amanah

Poster jamuan raya melaka

Umno mengulangi sikap tidak bertamadun mereka apabila mensabotaj tapak program jamuan hari raya Pakatan Harapan (Harapan) Melaka, dakwa Timbalan Pengerusi Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau berkata, jamuan itu akan berlangsung pada hari ini dan Harapan sudah membuat tempahan awal untuk meyewa tempat tersebut tetapi Umno tanpa segan silu ingin menggunakan dataran tersebut dan mengadakan program jamuan hari raya pada tarikh dan masa yang sama.

"Sebagaimana biasa mereka bertemu dengan tuan tanah dan mungkin menawarkan wang sewa yang jauh lebih tinggi dari kadar sewaan yang dibayar oleh Harapan. Mungkin juga tuan tanah diugut. Ini kerana kerja-kerja jahat seperti ugut, pukul ala gengster ini sudah sebati dengan mereka.

Jamuan raya melaka 2

Buktinya baru-baru ini Ketua Armada PPBM ditumbuk dan dipaksa makan cili selepas tercetus perbalahan tentang bendera semasa jamuan hari raya PPBM di Tanjung Kling," katanya dalam kenyataan.

Sofi berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Umno pernah 'merampas' Markas Pas di Bukit Baru, malah dengan kejam merobohkan Pasti dan Pejabat Pas Kawasan Bukit Katil atas alasan ingin membina jalan baru.

"Rakyat tidak lupa perangai mereka yang akan mengadakan ceramah di sebelah ceramah pembangkang. Malah peristiwa penyokong PR berdarah kepala semasa ceramah Anwar Ibrahim di atas tanah Hj Yassin Abd Ghani masih segar dalam ingatan," katanya.

Akibatnya, kata Sofi, rakyat menghukum Umno-BN pada PRU13 apabila dua kerusi tradisi Umno iaitu Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru jatuh ke tangan PR pada masa itu.

"Kini Umno mengulangi perangai tidak bertamadun itu. Mereka tidak pernah serik dan tidak belajar dari peristiwa lalu," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel