Pas Kedah akan tanding semua kerusi Dun, 15 parlimen

PAS KEDAH 1

Pas Kedah hari ini mengumumkan parti itu akan bertanding bagi semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 15 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata bagaimanapun keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi itu tertakluk kepada kehendak Pas Pusat.

"Ia berasaskan kajian yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkenaan dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Pas di Alor Setar hari ini.

Pada PRU13, Pas bertanding bagi 24 kerusi Dun serta lapan kerusi parlimen, dan menang sembilan daripada kerusi DUN serta satu kerusi parlimen.

Dr Ahmad Fakhruddin berkata, keputusan itu juga dibuat memandangkan senario politik kini yang berbeza berbanding PRU sebelum ini, kesan pengisytiharan DAP bahawa Pakatan Rakyat telah berkubur dan tindakan PKR yang sering membelakangkan tahaluf siyasi ketika bersama Pas.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel