Tidak perlu polemik hukuman sebat di khalayak ramai, kata Jamil Khir

Jamil Khir Baharom

Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai yang diluluskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tidak perlu dipolemikkan kerana ia bukan perkara baharu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata orang ramai juga perlu faham, hukuman itu hanya dilaksanakan terhadap pesalah orang Islam berikutan ia berdasarkan kepada kesalahan syariah.

"Jangan jadikan isu...amalan ini sudah pun berlaku di luar dari penjara macam di Tawau (Sabah). (Tetapi) ramai tidak faham hukuman berdasarkan syariah hanya melibatkan orang Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Jerai di Guar Chempedak, hari ini.

Pada Rabu lepas, Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu turut memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Jamil Khir yang juga Ketua Umno Bahagian Jerai berkata, bagaimanapun hukuman sebat dalam penjara sebenarnya sudah menepati khalayak ramai kerana menurut istilah Islam, ia bermaksud melebihi dua orang.

"Dalam penjara itu sudah lebih dua orang termasuk dengan doktor yang datang melihat, pegawai (penguat kuasa) agama, pengiring pesalah serta petugas lain," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel