Rumah mampu milik: Gerakan Pulau Pinang ludah ke langit terkena muka sendiri

Ammar Atan

Pemuda Amanah Nasional menyarankan Gerakan Pulau Pinang berani menegur Kerajaan Pusat terlebih dahulu berhubung isu pembangunan rumah mampu milik (RMM) di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Mohamad Ammar Atan berkata, dasar perumahan kerajaan yang diterajui BN pada masa ini jelas tidak berperikemanusiaan apabila menaikkan had harga rumah maksimum daripada RM200,000 kepada RM400,000 bagi rumah mampu milik.

Menurutnya, polisi pada belanjawan 2013 itu kemudiannya kekal pada hari ini bahkan dasar Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga tidak lagi dikhususkan kepada golongan berpendapatan sederhana. 

"Malah, dengan harga yang ada ini juga, berapa ramai rakyat Pulau Pinang yang mampu membelinya? Adakah Gerakan yang berpendirian seperti ini dengan beraninya menegur tuan besar mereka akan dasar yang diamalkan pada hari ini?

"Kenyataan yang dibuat oleh pihak Gerakan Pulau Pinang yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan dan membina projek pembangunan RMM pada harga sekitar RM100,000 bagaikan meludah ke langit, terkena muka sendiri," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berpendapat sikap Gerakan itu menyebabkan pihak yang bersalah terus bertepuk tangan.

Gerakan pada 12 Julai lalu mempertikai tindakan kerajaan Pulau Pinang yang masih meluluskan dan membina RMM pada harga lebih RM100,000, sedangkan jumlah unit yang terjual bagi kategori itu adalah rendah. 

Mengulas sandaran hujah Gerakan terhadap jumlah stok rumah yang tidak terjual sebagai gambaran kononnya wujud masalah perumahan kritikal di Pulau Piang, Ammar menegaskan hal itu juga tidak tepat.

"Isu lebih besar daripada ini adalah ketidakmampuan rakyat dalam mengumpul modal atau pinjaman yang berpunca daripada taraf pendapatan rendah atas kegagalan kerajaan BN menguruskan dasar tenaga kerja," bidasnya.

Kerajaan, jelasnya, gagal memastikan pendapatan rakyat terus meningkat sepadan dengan tahap produktiviti negara, kenaikan kos sara hidup dan laba ekonomi pada setiap tahun. 

"Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan nilai ekonomi dijana melalui perkhidmatan dan barangan yang dihasilkan oleh tenaga kerja Malaysia hanya sampai sekitar 35 peratus sahaja kepada pekerja sebagai bayaran gaji (dari KDNK).

"Di bawah pembangunan rumah mampu milik (RMM) juga terdapat pelbagai jenis harga rumah yang diketegorikan berdasarkan taraf pendapatan rakyat yang berasal dari Pulau Mutiara itu.

"Malah harga permulaan rumah mampu milik bawah kerajaan negeri bermula pada RM42,000 adalah lebih rendah berbanding polisi nasional PR1MA yang bermula pada paras RM100,000," ujarnya.

Walau bagaimanapun, Ammar berkata, pihaknya mengambil maklum tentang beberapa perkara utama berkaitan masalah perumahan yang dibangkitkan Gerakan.

"Saya di Amanah dan Pakatan Harapan juga berkongsi cita-cita yang sama untuk melihat isu perumahan di Malaysia dan bukan sahaja di Pulau Pinang berada dalam keadaan kondusif, sejajar dengan perkembangan ekonomi rakyat secara keseluruhannya.

"Sewajarnya, usaha meletakkan had maksimum jenis rumah mampu milik dimulakan di pihak kerajaan pusat dan seterusnya diselarasakan ke seluruh negara," tambahnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel