Mahkamah Persekutuan mekanisme kedua nasihati institusi beraja - pensyarah

Shamrahayu Abdul Aziz

Mahkamah Persekutujan menjadi mekanisme kedua selepas kerajaan dalam memberikan nasihat kepada institusi beraja bagi aspek Perlembagaan Persekutuan termasuk isu pembubaran Dewan Rakyat dan pengisytiharan darurat, menurut seorang ahli akademik.

Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata Mahkamah Persekutuan akan memainkan peranan tersebut jika pandangan dan nasihat pihak kerajaan didapati tidak menepati prinsip Perlembagaan.

"Raja-raja juga berhak untuk menentukan bahawa nasihat tersebut perlu difahami dengan lebih jelas atau diperincikan lagi, Kalau tidak nanti institusi itu tidak berwibawa.

"Sebab itu, Perlembagaan membuat satu mekanisme lain iaitu bertanyakan kepada Mahkamah Persekutuan. Jadi itu adalah mekanisme yang jelas bagaimana institusi beraja boleh mengekalkan kewibawaan mereka," katanya kepada Bernama selepas menjadi anggota panel sesi dialog Perlembagaan Malaysia: Peranan dan Bidang Kuasa Raja-raja pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara, Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, pakar perlembagaan itu berkata Mahkamah Persekutuan hendaklah memberi pandangan dalam mahkamah terbuka iaitu ia boleh didengar oleh semua pihak.

"Maknanya ia bukan dalam keadaan diam sahaja beri pandangan pada Tuanku. Mahkamah terbuka ini kesannya besar sebab mahkamah itu boleh dinilai oleh orang awam, betul atau tidak cadangan atau pandangan itu," katanya.

Shamrahayu menegaskan sistem Raja Berpelembagaan negara bukanlah sebagai simbol yang tidak berperanan tetapi ia mempunyai fungsi dalam menjamin segala perihal urus tadbir negara berjalan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sistem Raja Berpelembagaan bukan sekadar bertindak atas nasihat ahli politik, iaitu jemaah menteri atau perdana menteri tetapi ia sebenarnya melibatkan pelbagai institusi berkaitan dan budi bicara institusi beraja.

Raja Berpelembagaan bukan sekadar simbol kerana kuasa-kuasa budi bicara yang diberi perlembagaan amat jelas, katanya.

Shamrahayu berkata ada perkara-perkara yang digunakan dalam perlembagaan itu terlalu spesifik.

"Contohnya dalam melantik perdana menteri, kita lihat raja (boleh menentukan) pada hemat baginda siapa yang mempunyai kepercayaan ahli dewan. Adakah hemat baginda itu perlu disahkan oleh mana-mana orang? Dalam perlembagaan menyatakan tidak. Ada negara di dunia hemat baginda ini hendaklah disahkan oleh Parlimen. Ini menunjukkan kuasa budi bicara raja itu jelas," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel