Pas berbalah isu terima 'duit Umno'

Dakwaan Presiden Pas menghalalkan parti itu menerima duit Umno tular di media sosialPas dilihat sedang berbalah ekoran isu penerimaan wang daripada Umno sekali gus menyaksikan wujudnya perpecahan dalam parti itu terutama dalam sayap pemudanya.

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff memberi gambaran presiden parti tersebut menghalalkan duit Umno manakala Zaharudin Muhammad iaitu menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan tuduhan tersebut.

Dakwaan Nurul Islam itu tular di media sosial apabila enam keratan turutan perbualan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu itu dengan individu tertentu di aplikasi Facebook Messenger tersebar.

Beliau berkata, dakwaannya berhubung sikap Abdul Hadi itu boleh disahkan dengan sekumpulan individu yang menziarahi Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslim Sedunia tersebut.

Turut menyertakan foto terdiri daripada 12 individu terbabit dengan majoritinya berkopiah bergambar bersama-sama Abdul Hadi, Nurul Islam menyebut beberapa nama bergelar ustaz sebagai orang yang boleh diminta mengesahkan pendirian pemimpin nombor satu Pas itu.

"Nta (Kamu) tanyalah Ust Muiz dia tanya pasal duit Umno pada TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) dan tanya apa jawapan TGHH pada dia.

"Kemudian boleh tanya pada Ust Ismi Taib yang ada dalam gambar tu. Pendirian dan pandangan ana (saya) sama seperti jawapan TGHH kepada Ust Muiz," dipetik daripada keratan Facebook Messenger yang tular sejak beberapa hari lalu.

Nurul Islam juga sekali lagi mengulangi pertanyaan sama ada individu yang meminta penjelasanya itu merujuk kepada kedua-dua ustaz tersebut.

"Nta tanya Ust Muiz dah apa soalan dia tanya dan apa jawapan TGHH? Dan dah semak dengan Ust Ismi every word (setiap kata) yang disebut oleh Ust Muiz dan TGHH?

"Apa pandangan nta terhadap jawapan TGHH? Nta jawab dulu yang ni," desak Nurul Islam.

Fitnah yang berat

Zaharudin MuhammadBagaimanapun Zaharudin yang juga Ketua Pas Kawasan Subang dalam reaksinya menyifatkan dakwaan Nurul Islam itu sebagai 'fitnah yang berat terhadap Tuan Guru'.

"Perbuatan ini (dakwaan Abdul Hadi benarkan penerimaan wang daripada Umno) boleh menconteng arang bukan sahaja ke muka TG (Tuan Guru), bahkan kepada Pas secara amnya jika tidak dibendung.

"Saya kenali TG jauh lebih dekat berbanding Nurul Islam. TG seorang yang tegas tentang banyak perkara," tegas Zaharudin dalam satu kenyataan terbuka kelmarin.

Beliau menulis kenyataan itu sebagai menjawab tulisan seorang anggota Pas yang menggunakan nama Abu Ulwan di Facebook.

Menurutnya, beliau telah menghubungi hampir semua mereka yang hadir dalam pertemuan dengan Abdul Hadi itu dan mendapati maklum balas diterima bercanggah dengan dakwaan Nurul Islam.

"Sebab itu saya rasa sangat hairan apabila saudara Nurul Islam boleh mendakwa TG bersetuju mengambil duit daripada Umno di dalam majlis yang dihadiri oleh semua rakan yang saya kenal.

"TG di dalam majlis tersebut empat kali ditanya oleh Ustaz Muiz dan empat kali juga TG menyebut larangan mengambil duit Umno dan menyebut bahawa Pas ada ramai ahli dan penyokong korporat, kenapa mesti daripada Umno?" tulisnya lagi.

Nurul Islam Mohamed YusoffTidak kurang menarik perhatian ramai apabila Nurul Islam menafikan dirinya menerima 'duit Umno' sebanyak RM2 juta yang dianggapnya sebagai fitnah.

Dua kali menulis kata 'terima' duit Umno dengan kesemuanya huruf besar, beliau mengalu-alukan individu yang sedang berhubung dengannya di Facebook Messenger itu mengemukakan laporan tatatertib jika mempunyai bukti berkaitan.

"Kalau nta ada bukti ana TERIMA duit Umno, ana persilakan nta buat laporan disiplin ke atas ana segera," katanya lagi.

Difahamkan, Nurul Islam sebelum ini juga pernah membangkitkan hal sama berhubung pendirian Abdul Hadi yang menghalalkan 'makan' duit Umno bahkan hal tersebut kononnya mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Syura.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel