'Jangan takut nak kata tidak tahu dalam perkara kita tidak tahu'

Hanipa Maidin

Pengerusi Kanun Amanah Nasional Mohamed Hanipa Maidin sinikal dengan sikap pemimpin Pas yang mendakwa, berpuashati terhadap penjelasan Arul Kanda Kandasamy mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya tidak tahu sama ada nak gelak atau simpati dengan parti suci bila pimpinan tertinggi mereka dilaporkan kata berpuashati dengan proses rasionalisasi 1MDB setelah Arul Kanda dilaporkan bertemu dan memberi 'pencerahan' kepada parti tersebut," ujarnya dalam tulisan di facebook hari ini.

Mohamed Hanipa tidak menyebut dengan jelas nama parti suci itu sebagai Pas namun dengan sinis beliau berkata parti suci itu lebih baik diam daripada membuka mulut.

"Maaflah parti suci dalam hal 1MDB lebih baik anda diam daripada buka mulut...mungkin lebih baik anda panggil sama ada Yb Rafizi atau Yb Tony Pua atau Tun M jika nak tahu tentang 1MDB. Dengar Arul Kanda samalah macam kamu dengar Pekan. Tak akan depa nak kritikal kepada 1MDB.

"Kalau 1MDB Ok dah tentu mereka tak takut berhadapan dengan MP pembangkang di Parlimen untuk jawab semua persoalan berkaitan 1MDB..tak perlulah tolak 30 soalan 1MDB related oleh MP PH.

"Janganlah takut nak kata tak tahu dalam perkara yang kita tidak tahu," ujar Ahli Parlimen Sepang ini.

Hari ini Malaysia Dateline melaporkan kenyataan Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa yang mempersoalkan mengenai kenyataan Pas yang berasa puashati dengan penjelasan Arul Kanda mengenai 1MDB.

Ini susulan semalam, satu sidang meja bulat telah diadakan di Hotel de Palma, Ampang antara Pas dan Presiden 1MBD Arul Kanda yang antara lain menerangkan pelan rasionalisasi 1MDB.

Penerangan kira-kira dua jam kepada Tuan Ibrahim dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam sidang media diadakan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Arul khusus pelan rasionalisasi yang telah dicadangkan Arul bagi mengatasi kemelut berlaku dalam 1MDB.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel