Azmin sedia beri kerjasama kepada SPRM

Azmin ali 2

Kerajaan Negeri Selangor bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan isu penyelesaian tunggakan Universiti Selangor (Unisel).

Ia mengenai tatacara penyelesaian pertikaian kontrak antara Unisel dan Jana Niaga bernilai RM16 juta yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) serta syarikat Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada sebab untuk Kerajaan Negeri mahu mengelak kerana telah bersedia dengan bukti kukuh diperlukan.

“Itu memang pendirian Kerajaan Negeri daripada awal (untuk bekerjasama).

“Oleh kerana keyakinan kita telah melakukan sesuatu mengikut peraturan dan peruntukan sedia ada.

“Tiada sebab untuk kita lari daripada memberikan keterangan dan bukti yang ada,” katanya seperti dipetik Selangorkini.

Beliau mengulas laporan dibuat Pemuda Umno Kelana Jaya terhadap isu itu kepada SPRM.

Laporan itu dibuat ke atas Azmin kerana didakwa antara individu yang bertanggungjawab ke atas MBI yang juga Pengerusi syarikat Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd.

Azmin berkata, Kerajaan Negeri mempunyai hujah yang kukuh dan mantap mengenai isu itu dan meneyerahkan kepada SPRM bagi menjalankan siasatan.

Katanya, semua proses yang berlaku adalah proses terbuka yang telus dan menjamin kepentingan negeri termasuk MBI serta Unisel.

“Tidak mengapa kerana masing-masing boleh buat siasatan atau laporan,” katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel