PH tawar lima perkara untuk selamatkan KTMB dari kroni BN

Perbincangan PH berhubung KTMB.

Pakatan Harapan (PH) menawarkan perjanjian yang lebih adil kepada pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) termasuk 6,000 pekerjanya berbanding tawaran kerajaan BN melalui Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA), apabila berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Selain berazam untuk membatalkan RNAA, PH turut mencadangkan agar aset milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dipindahkan ke KTMB bagi tujuan memaksimumkan nilai aset tersebut.

Ini kerana kapasiti kecil RAC, akan menghalang agensi itu daripada menambahkan pendapatannya melalui sumber seperti Transit-Oriented Development (TOD), pengiklanan serta penjualan barangan.

"Aset-aset ini perlu dipindahkan ke KTMB dan KTMB mesti dibenarkan untuk menambahkan kepakarannya dalam bidang-bidang ini.

"Ini akan membolehkan KTMB untuk mencapai keuntungan dan juga untuk mengurangkan keperluan untuk meningkatkan harga tiket," kenyataan itu dipetik.

PH juga akan mengkaji semula kos dan kesesuaian Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang asetnya akan dipindahkan kepada syarikat baru, Malaysia Rail Line (MRL) Sdn Bhd. yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.

"Telah dilaporkan bahawa perkhidmatan ECRL akan dijalankan oleh operator lain yang belum dinamakan lagi. Bukan sahaja kos ECRL sangat tinggi tetapi kemungkinan besar operasinya akan diberikan melalui rundingan terus," kata kenyataan yang ditandatangani presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong, ahli parlimen Kuala Langat Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan ahli parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli.

PH juga berjanji tidak menswastakan KTMB dan akan melaksanakan semua urus niaga pembelian aset dan perkhidmatan KTMB melalui proses tender terbuka.

"Dengan tawaran dasar-dasar baru tersebut, maka kita dapat mensasarkan KTMB menjadi sebuah syarikat yang kedudukan kewangannya kukuh dan berkeuntungan, memastikan para pengguna perkkhidmatan KTMB tidak dibebani peningkatan harga tambang keretapi dan juga menjamin kebajikan dan keselamatan ribuan pekerja KTMB pada masa akan datang," kenyataan iu dipetik.

PH turut menyatakan pendirian menentang RNAA yang melibatkan KTMB dan RAC memandangkan perjanjian yang sepatutnya selesai pada 2018 itu akan memindahkan semua aset dan ‘rolling stock’ yang dimiliki KTMB kepada RAC.

Langkah ini, bagi PH adalah 'pintu belakang' bagi kerajaan BN memberikan akses kepada syarikat kroni menggunakan rangkaian rel untuk mengambil alih perkhidmatan KTMB termasuk 'freight and haulage' yang merupakan 42 peratus hasil syarikat keretapi itu.

Malah melalui perjanjian itu juga, kos operasi ditanggung KTMB akan meningkat ekoran RAC akan mengenakan caj kepada syarikat terbabit bagi penggunaan 'rolling stock'.

Selain itu, kata gabungan itu lagi, RAC dengan 38 pekerja tidak akan mampu menguruskan asetnya dengan baik dan dibimbangi akan menawarkan kerja-kerja berkenaan secara kontrak kepada syarikat kroni BN.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel