'Belum siasat sudah buat kesimpulan, kita akan hantar memorandum ke SPRM'

Shazni Munir Datuk Dzulkifli Ahmad

Pemuda Amanah Nasional (AMANAH) mempersoalkan bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuat kesimpulan tiada bukti asas yang kukuh untuk mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memiliki aset RM230 juta ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.

Naib Ketua Pemudanya Shazni Munir Mohd Ithin berkata, kedua-dua asas yang dikatakan oleh Ketua Pengarah SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad hanya boleh dikenal pasti setelah siasatan dilakukan terlebih dahulu.

"Bagaimana SPRM boleh buat kesimpulan tiada bukti kukuh tanpa memanggil pihak yang mendakwa dan didakwa? Tidakkah itu kesimpulan pra-matang?

"Kedua-dua asas yang dibangkitkan oleh Datuk Dzulkifli itu hanya boleh dikenal pasti dengan siasatan.

"Masalahnya siasatan pun belum dibuat, bagaimana beliau  boleh pasti bahawa Zahid Hamidi tidak terkait langsung dengan rasuah atau salah guna kuasa?," soalnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Dzulkifli hari ini seperti dilapor Bernama yang dipetik berkata, SPRM hanya akan menyiasat kekayaan seseorang jika dakwaan yang dibuat ke atasnya mempunyai asas di mana pemilikan kekayaan itu bersumberkan unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata kekayaan atau berapa banyak duit yang dimiliki seseorang bukan suatu asas yang membawa kepada keperluan siasatan daripada suruhanjaya itu sebagaimana dakwaan Dr Mahathir.

Sebelum ini, Dr Mahathir  mendakwa Ahmad Zahid mempunyai kekayaan mencecah RM230 juta yang dimilikinya ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dan kenyataan itu telah disusuli dengan laporan polis oleh DAP.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata kenyataan itu bukan asas yang boleh membawa kepada siasatan apatah lagi pihak yang mendakwa juga mengakui tidak mempunyai bukti atas apa yang diperkatakannya.

Pemuda Amanah pada 7 Ogos lalu telah memberikan tempoh tiga hari untuk SPRM menyiasat kekayaan Ahmad Zahid seperti yang didakwa Dr Mahathir.

Justeru Shazni dalam kenyataannya hari ini berkata tempoh yang diberikan itu telah tamat hari ini  dan akan meneruskan hasrat untuk mengumpulkan Pemuda Pakatan Harapan dan kumpulan anak muda ke pejabat SPRM pada 14 Ogos ini jam 11.30 pagi.

"Pemuda Pakatan Harapan akan berjumpa dan menyerahkan memorandum kepada SPRM di Putrajaya. Memorandum ini bertujuan menuntut jawapan yang telus dan terbuka daripada pihak SPRM.

"Tempoh 3 hari yang diberikan untuk SPRM bertindak atas dakwaan Tun Dr Mahathir wujudnya RM230 juta dalam akaun Datuk Seri Ahmad Zahid ketika bergelar Ketua Pemuda Umno, telah berakhir.

"Baik Tun Dr Mahathir mahupun Datuk Seri Ahmad Zahid, kedua-duanya masih belum dipanggil SPRM untuk memulakan siasatan," ujarnya.

Justeru katanya lagi oleh kerana tidak mahu kredibiliti SPRM terus-terusan dipertikai seolah-olah hanya bertindak ke atas kes-kes tertentu sahaja, pentingnya untuk SPRM dilihat serius dalam setiap kes yang dilaporkan media.

"Bagi sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang pula, kita tidak harus membenarkan sesiapa jua - baik yang kaya mahupun berkuasa - untuk berada di atas undang-undang. Benar, siasatan ke atas kes ini akan menjadi kayu ukur sejauh mana kita benar-benar menjunjung teras utama negara," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel