Azmin, Wan Azizah ziarah Hadi Awang

Azmin Ali

Selepas dua hari Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, beliau menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menjalani pembedahan.

Kunjungan malam tadi itu disertai Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Hadir sama pensyarah kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shaharuddin Baharudin yang juga Naib Presiden PKR. 

Gambar mereka menziarahi Hadi Awang tersebar di Facebook dan WhatsApp sejak malam tadi.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan melawat individu uzur amalan yang digalakkan dalam Islam.

Pada 28 Jun 2014, Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta anak mereka, Nurul Izzah juga pernah menziarahi Abdul Hadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pada masa itu, Abdul Hadi baru 10 hari pulang ke Malaysia selepas diberi kebenaran oleh doktor yang merawatnya di sebuah pusat perubatan di Istanbul, Turki.

Walau bagaimanapun, Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia berkenaan difahamkan tidak pernah menziarahi Anwar apabila dirawat sebelum ini.

Bahkan, Ahli Parlimen Marang itu tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada 2015 memberi sokongan kepada Anwar ketika prosiding akhir rayuan kes liwat kedua bekas Ketua Pembangkang tersebut.

Malah, sebelum itu tersebar kenyataan media Abdul Hadi yang menyatakan saranan untuk menyertai perhimpunan solidariti terhadap Anwar bukan pendirian rasmi Pas sebelum dinafikan kemudiannya oleh Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, penyokong tegar Pas dalam reaksi mereka menganggap PKR pada masa ini tiada pilihan melainkan terpaksa 'berlutut' kepada Pas walaupun telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Reaksi tersebut dilihat ekoran keputusan Pas yang muktamad akan meletakkan calon di Permatang Pauh yang sinonim dengan keluarga Anwar sejak Pilihan Raya Umum Ke-10 pada tahun 1999.

Bulan lalu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad melancarkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh dan memberitahu bahawa parti tersebut sudah mula mengerakkan jenteranya di semua kawasan di seluruh negara.


Selain itu, penyokong Pas juga dilihat berpuas hati kerana kunjungan pimpinan PKR tersebut dijangka membangkitkan rasa marah penyokong AMANAH khasnya sekali gus memecahkan Pakatan Harapan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel