Melayu, Islam terjaga di Pulau Pinang, exco bidas Abdul Hadi

Abdul Malik Kassim

Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang Abdul Malik Kassim menafikan kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negeri itu.

Beliau berkata, selepas kerajaan Pakatan Rakyat yang kini Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional pada Mac 2008, syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi kerajaan terdahulu.

"Bajet hal ehwal agama, misalnya pernah mencecah sehingga 300 peratus melebihi bajet agama sewaktu Pulau Pinang ditadbir oleh Gerakan iaitu rakan politik Umno.

"Sehinggakan pimpinan Gerakan pernah mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN," kata Abdul Malik dalam satu kenyataan.

Semalam Abdul Hadi dilapor menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan mengatakan parti itu menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang.

Menjawab kenyataan Hadi, Abdul Malik berkata perkembangan pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat, KAFA dan Maahad Tahfiz terus dibantu berdasarkan keupayaan kewangan negeri.

Katanya, selain bajet tahunan untuk hal ehwal agama, lebih RM14 juta telah disalurkan untuk institusi pendidikan Islam di negeri itu.

"Bahkan guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan Islam menerima bonus tahunan yang tidak pernah diterima sebelum ini.

"Bajet dan sumbangan itu, tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang ketara berbanding kerajaan terdahulu," kata Malik.

Menurut beliau juga, kerajaan negeri juga akan membina Hospital Islam setinggi 14 tingkat pertama di negeri itu, dengan projek pembinaan akan dimulakan pada Mac depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menganugerahkan sebidang tanah bernilai lebih RM80 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Mahkamah Syariah setinggi 7 tingkat di Jalan Scotland.

"Ini adalah sebahagian usaha untuk memartabatkan Melayu dan Islam di negeri ini," katanya.

Malik juga mengingatkan Pas bahawa Pulau Pinang tidak mengkategorikan penceramah Islam mengikut parti politik, seperti yang dilakukan BN.

“Di Pulau Pinang, kami membenarkan mana-mana penceramah dan guru untuk mengajar mengikut kemahuan mereka.

“Semasa BN memerintah Pulau Pinang, ahli parti Pas tidak dibenarkan mengajar di masjid dan surau.

“Malah, bekas pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man, iaitu presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang, tidak dibenarkan mengajar pada masa itu,” kata Malik, merujuk zaman BN memerintah negeri itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel