• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Universiti Felda bukti Pakatan Harapan serius

Ahmad Fadhli Umar AminolhudaAhmad Fadhli Umar Aminolhuda

Cadangan penubuhan Universiti Felda yang menjadi salah satu daripada resolusi Konvensyen Warga Felda semalam bukti Pakatan Harapan serius dalam usaha memajukan masyarakat peneroka, kata Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda.

Menurutnya, mentaliti untuk sentiasa membangunkan masyarakat dan berusaha ke tahap lebih baik perlu ditanam dalam pemikiran anak-anak muda lebih-lebih lagi dalam masyarakat Melayu Felda.

"Bagi kami, Universiti Felda merupakan satu idea yang baik bagi pembangunan anak-anak dan generasi baru Felda supaya sikap dan mentaliti untuk belajar dan berusaha ke tahap lebih baik akan semakin meningkat dalam kalangan mereka.

"Generasi Felda akan menjadi lebih yakin dan bersemangat untuk menyambung pelajaran ke tahap pengajian lebih tinggi dengan manfaatnya kelak dapat dikembalikan kepada kelestarian sektor pertanian di negara ini," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan idea penubuhan Universiti Felda juga dapat meningkatkan keupayaan para peneroka Felda untuk terus bersikap inovatif.

"Kerajaan perlu memberikan perhatian serius kepada generasi baru Felda yang semakin mendapat pendedahan mengenai pendidikan," katanya.

Sifat berdaya saing dalam teknologi, pemasaran dan pelbagai bidang lagi, tambahnya, dapat memastikan Felda yang menjadi aset penting membangunkan sosio-ekonomi masyarakat Melayu sentiasa terus relevan dan kompetitif.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika membacakan lima resolusi berkenaan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor semalam antara lain menyebut tumpuan Universiti Felda dalam bidang berkaitan industri kelapa sawit, kejuruteraan, pertanian, bio-teknologi dan perniagaan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam ceramahnya berpendapat dasar berkaitan program pendidikan untuk anak-anak peneroka Felda perlu diperluas dan ditambah baik.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: