Adam Rosly berhadapan 6 tuduhan beri keterangan palsu

 Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada SPRM  berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.-Foto Bernama.

 

Kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR cabang Ampang, Datuk Adam Rosly berdepan enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu untuk tujuan memperdayakan SPRM dalam siasatan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 dan 22 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, ahli perniagaan itu didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapannya dirakam oleh dua pegawai SPRM

Pernyataan itu berhubung kerjaya beliau sebagai pengarah sebuah syarikat, sumber pendapatan dan pembelian sebuah rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang secara tunai.

Adam Rosly menyebut beliau mendapat sumber kewangan untuk membeli banglo tersebut melalui pinjaman wang daripada dua Ahlong, pemberian keluarga, hasil jualan kereta serta hasil perniagaan.

Bagi kesalahan itu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 32 (8)(c) Akta Pencegahan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (8) akta sama.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Adam Rosly didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya Gegas Mentari Holdings Sdn Bhd untuk memperdaya pegawai penyiasat berkenaan.

Kesalahan itu pula dibuat mengikut Seksyen 32 (8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613).

Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Adam Rosly mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Hakim Allaudeen Ismail menetapkan wang jaminan RM300,000.

Adam Rosly dibawa dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: